Two Miri chefs shine at the WATCEFS 2026 awards ceremony

Posted on 17 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Gan akan mewakili Malaysia ke World Tapas Championship di Valladolid, Sepanyol pada November ini.
 

This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online

MIRI: Bakat kulinari tempatan mencuri perhatian pada majlis anugerah World National & World Asia Tapas Competition, Exhibition, Festival and Seminar (WATCEFS) 2026 apabila dua cef dari Miri meraih dua tempat teratas dalam pertandingan kulinari antarabangsa.

Cef Kenny Gan Wei Kiat dari restoran Hatchi By Kenny’s muncul sebagai juara kebangsaan WATCEFS 2026, manakala Cef Ellyrius Sukimin dari Jinhold Hotel & Serviced Apartment meraih naib juara pada majlis penutup acara di Hotel Meritz Miri pada Ahad.

Gan menewaskan 28 peserta cef Malaysia yang lain untuk merangkul gelaran berprestij itu, sekali gus melayakkannya mewakili Malaysia ke World Tapas Championship di Valladolid, Sepanyol pada November nanti.

Semasa temu bual eksklusif, Gan menyifatkan ciptaan kemenangannya sebagai interpretasi moden hidangan ikan pansuh dalam bentuk tapas.

“Saya sebenarnya membuat interpretasi moden hidangan pansuh dan menggunakan ikan patin dari Sungai Baleh, Kapit, kemudian saya mengolahnya semula sebagai tapas.

“Semua bahan dikumpul secara liar, seperti bunga kantan, umbut tepus, upa kecala yang merupakan bahan tradisional Dayak yang digunakan untuk memasak pansuh.

"Semuanya dikumpulkan dari Sarawak, seterusnya mengolahnya untuk mengekalkan rasa pansuh, namum dalam cara yang moden,” tambahnya.


Ellyrius dari Jinhold Hotel & Serviced Apartment Miri yang meraih gelaran naib juara.

 

Sementara itu, Ellyrius memukau juri dengan ciptaan inovatifnya bertajuk 'Aki Nabalu Mulu' yang menggabungkan ulat mulong (ulat sagu) bersama udang, bunga kantan, serai, terung Dayak, halia, bawang merah dan bawang putih.

“Bahan utama ialah ulat mulong.

"Konsepnya adalah menggunakan bahan tradisional dalam cara yang baharu,” jelasnya.

Beliau menambah, hidangan itu diinspirasikan daripada warisan Sabah dan Sarawak dengan menggabungkan bahan asli Borneo bersama persembahan kulinari moden.

“Aki Nabalu Mulu melambangkan penyatuan Sabah dan Sarawak, menggabungkan rasa tradisional, bahan peribumi dan teknik kulinari kontemporari dalam satu kisah kulinari yang elegan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai inspirasinya Ellyrius berkata, beliau mahu mengangkat bahan tempatan yang kurang digunakan ke tahap pengalaman santapan mewah.

“Ulat mulong adalah makanan tradisional yang jarang dimakan orang, tetapi saya membawanya ke konsep baharu seperti santapan mewah,” tambahnya.

Sementara itu dalam temu bual berasingan, Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, penganjuran sulung WATCEFS 2026 di Miri telah memberi pendedahan besar kepada bandar raya tersebut.

“Acara ini dianjurkan di Kuching selama dua tahun lepas.

"Ini tahun ketiga dan kali pertama dianjurkan di Miri.

"Saya telah meminta pihak penganjur supaya mempertimbangkan untuk membawa acara ini ke Miri pada tahun akan datang.

"Ini kerana kita memerlukan lebih banyak pendedahan serta ia akan membantu meletakkan Miri di pentas kulinari dunia,” katanya.

Pada masa yang sama, pengerusi penganjur Sim Ling Ling pula menyatakan acara itu merupakan hasil usaha bertahun-tahun untuk meletakkan Miri sebagai destinasi yang mampu menganjurkan acara antarabangsa bertaraf dunia.

Menutup tirai WATCEFS 2026 tambah beliau lagi, pencapaian kukuh Miri di pentas kulinari bukan sahaja menyerlahkan bakat tempatan malah turut mengukuhkan reputasi Sarawak sebagai hab gastronomi dan pelancongan antarabangsa yang sedang berkembang.