KPSM Sibuti Berhad successfully built the Entulang Ramp on Pan Borneo

Posted on 19 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Dr Ahmad Parveez (tengah) menggunting reben pada perasmian Ramp Entulang milik KPSM Sibuti Berhad berhampiran Lebuh Raya Pan Borneo, Miri-Bintulu, semalam.
 
This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online 


MIRI: Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Sibuti Berhad membuktikan keupayaannya berdikari apabila berjaya membina Ramp Entulang di Pan Borneo bernilai RM700,000 sepenuhnya menggunakan dana serta keuntungan yang dijana melalui aktiviti perniagaan koperasi sendiri.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kejayaan itu membuktikan objektif penubuhan KPSM untuk melahirkan koperasi yang mampu menjana keuntungan dan mengembangkan perniagaan secara mampan telah berjaya direalisasikan.

Menurut beliau, pembinaan pusat timbang kedua itu dilaksanakan tanpa sebarang bantuan kewangan daripada MPOB mahupun Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sekali gus menjadi pencapaian yang membanggakan.

"Ini merupakan bukti jelas bahawa koperasi yang diurus dengan baik, telus dan berintegriti mampu berkembang daripada sebuah organisasi yang menerima bantuan pembangunan kepada sebuah koperasi yang mampu membiayai pelaburan baharu menggunakan sumber kewangannya sendiri," katanya.

Dr Ahmad Parveez berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ramp KPSM Sibuti Berhad di Entulang, Pan Borneo, semalam.

Menurut beliau, KPSM Sibuti Berhad yang ditubuhkan pada 16 Mac 2013 kini mempunyai kira-kira 400 anggota yang terdiri daripada pekebun kecil sawit di kawasan Sibuti dan sekitarnya.

Katanya, koperasi itu sebelum ini membangunkan pusat timbang pertamanya di Kampung Sepurau, Bekenu yang mula beroperasi pada 14 Februari 2018 menggunakan geran pembinaan pusat timbang MPOB berjumlah RM200,000.

"Pusat timbang pertama tersebut berkembang dengan baik dan berjaya menjana pendapatan yang memberangsangkan kepada koperasi, sekali gus menjadi asas kepada pembinaan Ramp Entulang," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kejayaan KPSM Sibuti Berhad, yang berjaya mengagihkan rebat langganan sebanyak RM15 bagi setiap tan metrik (RM15/MT) kepada anggota yang menjual Buah Tandan Segar (BTS) melalui ramp milik koperasi.

Katanya, pemberian rebat itu membuktikan keuntungan yang dijana dapat dikongsi semula dengan anggota selaras dengan semangat gerakan koperasi.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Lembaga Koperasi, pihak pengurusan dan seluruh anggota KPSM Sibuti Berhad atas komitmen yang diberikan sehingga koperasi ini terus berkembang maju," katanya.

Beliau berharap kejayaan KPSM Sibuti dapat dijadikan inspirasi dan penanda aras kepada koperasi penanam sawit mampan lain di Sarawak.

Dalam perkembangan sama, Dr Ahmad Parveez berkata Ramp Entulang yang memulakan operasi pada Januari 2026 menunjukkan prestasi jualan yang semakin meningkat dari bulan ke bulan, sekali gus mencerminkan kepercayaan serta sokongan berterusan daripada pekebun kecil di kawasan sekitar.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pekebun kecil agar terus menghantar hasil BTS ke ramp berkenaan bagi memastikan ia terus berkembang sebagai pusat pengumpulan sawit yang lebih maju, berdaya saing dan memberi manfaat lebih besar kepada seluruh anggota koperasi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh ahli-ahi koperasi serta pegawai dan kakitangan MPOB.