Sarawak students are urged to take advantage of the free higher education opportunities provided by the government

Posted on 19 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Lee (baris depan, tiga kanan) bersama guru dan bakal calon STPM SMK Baru, Miri.

This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online
 

MIRI: Pelajar di Sarawak digesa memanfaatkan peluang pendidikan tinggi percuma yang disediakan kerajaan negeri dengan belajar bersungguh-sungguh demi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan profesional tempatan yang mampu memacu pembangunan Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelaksanaan pendidikan universiti percuma di empat institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri bermula tahun ini membuka lembaran baharu kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan.

Menurutnya, empat universiti yang terlibat ialah Curtin University Malaysia di Miri, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu, Swinburne University of Technology Sarawak Campus di Kuching dan i-CATS University College, melibatkan sebanyak 64 kursus yang diluluskan.

"Tiada lagi alasan untuk tidak melanjutkan pelajaran kerana Kerajaan Sarawak telah menyediakan peluang pendidikan universiti percuma kepada anak-anak Sarawak yang berjaya mendapat tempat dalam kursus yang ditawarkan.

"Di Miri sendiri kita mempunyai Curtin University yang menawarkan pelbagai bidang seperti kejuruteraan, kewangan dan perakaunan. Jika diterima masuk ke dalam kursus yang diluluskan, anda akan menikmati pendidikan universiti secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Motivasi dan Penyerahan Alat Tulis Kepada Pelajar SMK Baru di Dewan Sekolah SMK Baru di sini, hari ini.

Lee berkata, inisiatif pendidikan percuma itu merupakan usaha Kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri menjelang 2030.

Katanya, Sarawak memerlukan lebih ramai pakar dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan mekanikal, elektrik, elektronik, kimia, kejuruteraan tenaga, perakaunan serta teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Kita mempunyai banyak sumber asli, tetapi tanpa modal insan yang berkemahiran dan berkelayakan, kita masih bergantung kepada kepakaran luar. Perkara inilah yang ingin kita elakkan.

"Kita mahu anak-anak Sarawak sendiri menjadi pakar dalam pelbagai bidang supaya dapat menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negeri," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan modal insan merupakan kunci utama untuk merealisasikan aspirasi Sarawak menjadi wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Menurutnya, pendidikan merupakan laluan terbaik bagi meningkatkan taraf hidup rakyat kerana individu yang memiliki kelayakan profesional dan kemahiran tinggi berpeluang memperoleh pendapatan yang lebih baik.

Dalam pada itu, beliau menggesa pelajar supaya memberi perhatian terhadap perkembangan teknologi semasa, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), yang kini menjadi antara keperluan utama di peringkat global.

"AI akan memainkan peranan penting pada masa depan. Sarawak juga memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang ini bagi menyokong pembangunan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi," katanya.

Pada masa sama, Lee berkata pemberian insentif kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dilaksanakannya sejak beberapa tahun lalu telah menunjukkan kesan positif apabila prestasi akademik pelajar terus meningkat.

Beliau berharap insentif berkenaan dapat terus menjadi pemangkin kepada pelajar untuk berusaha mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

"Saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan STPM dan semoga anda semua berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang seterusnya melanjutkan pengajian di universiti tempatan di Sarawak," katanya.