NSJA continues to strengthen the professionalism and unity spirit of journalists

Posted on 19 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Chai (depan lima kanan) bersama ahli-ahli NSJA yang hadir pada majlis makan malam tersebut.

This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online 
 

MIRI: Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) akan terus komited memperkukuhkan pembangunan profesional, kebajikan serta hubungan erat dalam kalangan pengamal media bagi memastikan persatuan kekal relevan dalam landskap media yang semakin dinamik.

Presidennya Chai Chon Chin berkata, kekuatan NSJA bukan sahaja terletak pada peranan ahlinya sebagai wartawan, malah turut bergantung kepada hubungan persaudaraan dan kerjasama yang dibina dalam komuniti kewartawanan.

Menurut beliau, melalui sokongan bersama, kerjasama profesional dan perkongsian pengalaman, warga media mampu terus menjunjung kewartawanan yang bertanggungjawab demi berkhidmat kepada masyarakat, khususnya di utara Sarawak.

"Sepanjang tahun lalu, NSJA terus komited menganjurkan pelbagai aktiviti dan program yang bertujuan meningkatkan kemahiran ahli, menggalakkan jaringan profesional serta memupuk kerjasama yang lebih kukuh dalam industri media," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak NSJA 2026 baru-baru ini yang turut dihadiri ahli-ahlinya.

Menurut Chai, majlis makan malam Gawai itu merupakan antara aktiviti tahunan yang paling dinanti-nantikan oleh ahli kerana bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi platform mengeratkan persahabatan dan semangat setia kawan dalam kalangan wartawan daripada pelbagai organisasi media.

Katanya, sebagai pengamal media, wartawan sering berdepan cabaran memenuhi tarikh akhir, membuat liputan di kawasan geografi yang luas serta menyesuaikan diri dengan perubahan pesat industri media.

"Oleh itu, peluang seperti ini memberi ruang kepada kita untuk berehat seketika daripada tanggungjawab harian, mengukuhkan semula hubungan sesama rakan media serta menghargai semangat solidariti yang sentiasa menjadi asas profesion kewartawanan," ujarnya.

Beliau turut mengajak warga media meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Sarawak, selain memainkan peranan menyampaikan laporan yang mampu menyatukan masyarakat, menggalakkan persefahaman serta mencerminkan semangat sebenar negeri ini.

Dalam pada itu, Chai merakamkan penghargaan kepada barisan Jawatankuasa Eksekutif NSJA khususnya pengerusi penganjur Clare Cinderella, yang juga timbalan presiden persatuan, atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan majlis tersebut berlangsung dengan jayanya.

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ahli NSJA yang terus memberikan sokongan terhadap setiap aktiviti persatuan sehingga memperkukuhkan peranan NSJA sebagai wadah yang menyatukan komuniti kewartawanan di utara negeri ini.