Dalam serbuan jam 10 pagi itu, pihak berkuasa berjaya merampas kira-kira 5,250 liter minyak diesel dan menahan dua lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 49 tahun yang sedang melakukan aktiviti penyelewengan bahan bakar tersebut.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemilik telah menjadikan premis itu sebagai pusat pengumpulan minyak diesel yang dibeli daripada pemandu kenderaan berat di sekitar Miri sebelum dipindahkan ke dalam tangki simpanan (skid tank) di lokasi tersebut.
Menurutnya, minyak diesel yang dikumpulkan kemudian dijual semula kepada pembeli dalam kalangan pemain industri di sekitar kawasan Miri.
“Hasil pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemui kira-kira 5,250 liter minyak diesel, sebuah lori tangki berkapasiti 5,000 liter, sebuah skid tank berkapasiti 10,000 liter serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel.
“Kesemua barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM94,787.50,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Farhan, siasatan turut mendapati pemilik premis memiliki permit yang dikeluarkan KPDN yang membenarkannya membeli dan menggunakan minyak diesel tidak bersubsidi dengan kuantiti simpanan sehingga 10,000 liter, namun telah disalahgunakan.
“Kegiatan penyelewengan minyak diesel ini bukan sahaja melanggar undang-undang malah menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan.
“Justeru, kes telah diserahkan kepada KPDN Cawangan Miri untuk tindakan dan siasat lanjut mengikut Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Sehubungan itu, Farhan mengingatkan semua pihak agar tidak bersekongkol dengan sindiket penyelewengan minyak diesel yang menjejaskan hasil negara.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyelewengan bahan kawalan kepada polis atau KPDN bagi membantu membanteras aktiviti berkenaan.