Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri Mohammad Hafidz Rohani berkata, pihaknya menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan melaksanakan subsidi bersasar bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
Namun katanya, pendekatan yang digunakan perlu mengambil kira keunikan keadaan di wilayah Borneo khususnya berkaitan kelayakan subsidi diesel bagi pemilik kenderaan diesel persendirian termasuk pemilik kenderaan pacuan empat roda dan pikap.
Menurut beliau, penggunaan kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak jauh berbeza berbanding kebanyakan kawasan di Semenanjung kerana kenderaan pacuan empat roda bukan dianggap sebagai kemewahan, sebaliknya merupakan keperluan harian.
“Golongan petani, pekebun kecil, peniaga, kontraktor, guru, petugas kesihatan serta penduduk luar bandar bergantung kepada kenderaan tersebut untuk mencari rezeki dan mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan asas.
“Selain itu, keluasan Sarawak dan Sabah serta jarak perjalanan yang jauh antara pekan dan penempatan menyebabkan penggunaan diesel lebih tinggi berbanding kawasan bandar,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Dewan Muda DUBS Cawangan Miri Gannie Sinau berkata, realiti kehidupan masyarakat di pedalaman Sarawak juga perlu diberikan perhatian dalam merangka dasar subsidi bahan api.
Beliau berkata, perjalanan dari Miri ke Bario misalnya boleh mengambil masa sehingga 15 jam bagi satu hala bergantung kepada keadaan jalan dan cuaca.
“Di banyak kawasan pedalaman, stesen minyak tidak berada pada jarak yang dekat.
"Ada penduduk yang perlu merancang perjalanan yang jauh semata-mata untuk mendapatkan bekalan bahan api.
“Keadaan ini sudah tentu berbeza dengan kehidupan masyarakat di kawasan bandar yang mempunyai akses lebih mudah kepada kemudahan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, DUBS berpandangan bahawa had kelayakan subsidi diesel sebanyak 300 liter sebulan bagi pemilik kenderaan pikap dan pacuan empat roda wajar diteliti semula supaya lebih mencerminkan keperluan sebenar rakyat di Sabah dan Sarawak.
Menurut DUBS, matlamat kerajaan untuk memastikan subsidi dinikmati golongan yang layak adalah tepat namun pelaksanaan dasar tersebut perlu mengambil kira faktor geografi, infrastruktur, keadaan jalan raya dan pola penggunaan rakyat yang berbeza mengikut wilayah.
Mohammad Hafidz turut menegaskan bahawa cadangan yang dikemukakan bukan bertujuan mempertikaikan dasar kerajaan, sebaliknya bagi memastikan pelaksanaannya lebih adil dan bersesuaian dengan keadaan sebenar di Sabah dan Sarawak.
“Keadilan bukan bermaksud semua pihak menerima layanan yang sama, tetapi setiap wilayah diberikan pertimbangan berdasarkan realiti dan keperluannya.
“Jangan samakan perjalanan 30 minit di bandar dengan perjalanan berjam-jam di pedalaman Sarawak.
"Kami yakin dasar yang baik akan menjadi lebih baik apabila mengambil kira suara rakyat di lapangan,” katanya.
Beliau berharap kerajaan akan terus membuka ruang perbincangan dan memperhalusi pelaksanaan subsidi bersasar supaya objektif membantu golongan yang memerlukan dapat dicapai tanpa menjejaskan masyarakat luar bandar serta usahawan yang bergantung kepada kenderaan diesel.