Menurut beliau, berdasarkan Statistik Pemerkasaan Wanita dan Indeks Jurang Gender Malaysia 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mencatat skor 0.708 pada 2024 berbanding 0.705 pada tahun sebelumnya.
Katanya, wanita terus mengatasi lelaki dalam subindeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.073, manakala sub-indeks kesihatan dan kehidupan mencatat skor 0.962 serta peluang dan penyertaan ekonomi merekodkan skor 0.703.
“Tetapi jurang yang ketara masih wujud dalam subindeks penguasaan politik yang hanya mencatat skor 0.096, menunjukkan penyertaan wanita dalam arena politik dan proses membuat keputusan masih perlu diperkukuhkan,” katanya.
Beliau menegaskan demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus pada Majlis Perasmian Program Kepekaan Gender: GENDERate CHANGE@WORKPLACE 2026 (Zon Utara) di sini, hari ini.
Fatimah berkata, di Sarawak, pencapaian wanita dalam bidang pendidikan turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dan melepasi aras kesaksamaan gender, namun usaha berterusan masih diperlukan bagi memperkukuh penguasaan politik, kepimpinan serta penyertaan wanita dalam ekonomi.
Justeru, menyedari hakikat itu, kementeriannya terus melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi memperkasa wanita serta meningkatkan penglibatan mereka dalam pembangunan sosioekonomi negeri.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Kepimpinan Wanita, Kem Kepimpinan Belia serta pemberian biasiswa kepada wanita Sarawak untuk mengikuti Program Sarjana Seni Dalam Pembangunan Kepimpinan di Asian Women Leadership University College.
Katanya, inisiatif berkenaan penting bagi memastikan wanita Sarawak bukan sahaja menjadi peserta pembangunan, malah turut berperanan sebagai pemimpin, pembuat keputusan dan ejen perubahan dalam komuniti serta pembangunan negeri pada masa depan.
Dalam pada itu, Fatimah berkata Program Kepekaan Gender: GENDERate CHANGE@WORKPLACE 2026 yang julung kali diadakan itu merupakan inisiatif kementerian untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan peranan setiap individu berkaitan isu gender dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, profesional dan bebas daripada diskriminasi.
Beliau berkata program itu juga selaras dengan penubuhan Unit Diversity, Equality, Equity and Inclusivity (D2EI) di Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) bagi memperkasakan agenda gender secara lebih meluas.
“Sebagai permulaan, program tersebut menyasarkan penyertaan kakitangan awam dan pada masa depan akan diperluaskan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Seramai 50 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan menyertai program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, dengan Miri dipilih sebagai lokasi pertama bagi penganjuran sulung sebelum diteruskan ke Sibu dan Kuching pada masa akan datang.
Turut hadir ialah Pengarah JWKS Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Kathreen Lalai Eddie Saga serta Datuk Dr Tengku Naufal Tengku Mansor selaku jurulatih induk yang akan mengendalikan program tersebut.
Pada majlis sama, Rosey turut menyerahkan bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) kepada lapan penerima dan Geran Pemerkasaan NGO kepada tiga wakil NGO terbabit.