The Sarawak government continues to speed up the implementation of infrastructure projects in the Lambir state constituency

Posted on 19 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Gerawat (duduk tengah) dan Ripin (tiga kiri) serta tetamu di meja utama bergambar bersama semua yang hadir pada Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2026 DUN N.72 Lambir yang berlangsung di Miri, malam semalam.
 
This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online 
 
MIRI: Kerajaan Sarawak terus mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur di kawasan DUN Lambir dengan 52 projek jalan raya bernilai RM17 juta dan enam projek jambatan kecil bernilai RM1.8 juta bagi meningkatkan kemudahan perhubungan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembangunan infrastruktur kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri kerana ia merupakan asas penting kepada pertumbuhan ekonomi, keselamatan dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Menurut beliau, daripada 52 projek jalan raya yang diluluskan di kawasan DUN Lambir, sebanyak 12 projek telah siap dilaksanakan, 14 dalam proses tender, enam dalam proses penyelenggaraan dan empat lagi sedang dalam pembinaan.

Katanya, bagi projek jambatan kecil pula, empat projek telah siap manakala dua lagi sedang dalam proses pelaksanaan.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala pada Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2026 DUN N.72 Lambir di sini, malam semalam.

Dalam ucapan lanjutnya, beliau berkata kerajaan negeri turut mengambil langkah proaktif dalam menangani kerosakan infrastruktur akibat bencana alam seperti banjir, hakisan cerun dan tanah runtuh bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara serta aktiviti harian penduduk tidak terjejas.

Menurutnya, bagi bahagian Miri secara keseluruhan, Kerajaan Sarawak telah meluluskan 54 projek pembaikan kecemasan bernilai RM140.5 juta yang meliputi kerja baik pulih jalan, pembaikan cerun dan penggantian jambatan.

“Daripada jumlah itu, 19 projek telah siap dilaksanakan, 14 sedang dalam pembinaan manakala 21 lagi berada pada peringkat perancangan,” katanya.

Uggah berkata, pelaksanaan projek-projek tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kemudahan awam sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselesaan dan keselamatan rakyat.

Beliau berkata, semua pembangunan yang dilaksanakan pada masa ini berpandukan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), iaitu pelan hala tuju kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju, lestari dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
 

“Pembangunan yang dicapai Sarawak hari ini adalah hasil perancangan yang teliti, dasar yang jelas serta kepimpinan berwawasan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sentiasa memastikan hasil negeri diterjemahkan kepada pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Prinsip utama yang menjadi pegangan kerajaan negeri ialah memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan, justeru pelbagai projek terus diperluaskan bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Tambahanya, kedudukan kewangan Sarawak yang kukuh dengan hasil negeri mencecah RM14.2 bilion pada 2024 membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan dalam bidang infrastruktur, pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak terus komited mempertahankan tanah hak adat Bumiputera (NCR) menerusi pelaksanaan program pengukuran dan pewartaan tanah secara berterusan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 415.8 hektar tanah NCR di DUN Lambir telah diwartakan, manakala 220 hektar lagi telah diluluskan dan 3,845.4 hektar sedang dalam proses pengukuran lot individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat di kawasan Lambir terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Premier Abang Johari serta mengekalkan perpaduan bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Ripin Lamat, Residen Miri Galong Luang serta dua Setiausaha Politik Premier iaitu Ajis Labau dan Pandang Semat.