Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan) Datuk Dr Ripin Lamat berkata, promosi terhadap produk yang dihasilkan oleh penghuni penjara perlu diperhebatkan kerana masih ramai masyarakat yang kurang mengetahui potensi dan kualiti produk berkenaan.
Menurutnya, kerjasama strategik dalam aspek pemasaran dan pengeluaran secara berskala besar boleh diwujudkan, termasuk membekalkan produk kepada pengusaha dan vendor sebagai kontrak pembekal.
Beliau kagum dengan mutu produk yang dipamerkan pada MyPRIDE Fair Peringkat Zon Sarawak, termasuk perabot, produk fabrik dan makanan.
Menurutnya, ukiran dan hasil kerja tangan yang dihasilkan penghuni penjara menunjukkan tahap kemahiran yang tinggi dan mempunyai potensi besar untuk dipasarkan secara lebih meluas.
"Saya melihat sendiri produk-produk yang dihasilkan begitu berkualiti. Banyak mimbar di surau dan masjid di kawasan saya juga dihasilkan oleh pihak penjara dan ukirannya sangat cantik.
"Kalau produk-produk ini dipasarkan dan dipromosikan dengan lebih luas, saya percaya ia mampu mendapat pasaran yang lebih baik sekali gus menjana pendapatan kepada penghuni penjara dan pihak penjara sendiri," katanya ketika merasmikan MyPRIDE Fair Peringkat Zon Sarawak di Permy Mall, hari ini.
ADUN Lambir itu berkata, program merupakan platform penting dalam memperkenalkan produk dan perkhidmatan hasil kemahiran penghuni penjara di seluruh Sarawak sebagai persediaan mereka kembali ke pangkuan masyarakat.
Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi latihan kemahiran dan pendedahan industri berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), malah turut membantu membangunkan potensi ekonomi penghuni penjara selepas tamat menjalani hukuman.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak memandang rendah atau menolak bekas banduan, sebaliknya memberi peluang dan sokongan kepada mereka untuk membina kehidupan baharu.
"Mereka juga manusia biasa seperti kita. Mungkin mereka pernah melalui perjalanan hidup yang kurang baik, namun mereka perlu diberi peluang untuk kembali bersama masyarakat dan menjalani kehidupan secara normal.
"Sokongan masyarakat amat penting bagi membantu mereka mengatasi persepsi negatif dan perasaan rendah diri supaya dapat menyesuaikan diri semula dengan masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, pelbagai jenis hasil kraf tangan dan kreativiti prospek daripada enam institusi Penjara Sarawak iaitu Penjara Puncak Borneo, Penjara Pusat Sri Aman, Penjara Pusat Sibu, Pusat Koreksional Bintulu, Penjara Pusat Miri dan Penjara Limbang.
Terdahulu, Pengarah Penjara Negeri Sarawak Timbalan Komisioner Penjara Teyun Thian Eim yakin kualiti produk seperti songket, batik, perabot, simen fero, kimpalan, pastri dan makanan sejuk beku adalah setanding dengan produk yang ada di pasaran tempatan dengan harga yang jauh lebih murah.
"Melalui penganjuran MyPRIDE Fair, Jabatan Penjara Malaysia berusaha memperkukuhkan agenda pemulihan, meningkatkan kemahiran penghuni serta menyediakan mereka untuk kembali berfungsi sebagai anggota masyarakat yang produktif dan berdaya saing apabila dibebaskan kelak," jelasnya.
Hadir sama Pemangku Penguasa Penjara Brunei Hamdani Mohd Salleh.