Beliau menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dengan akaun WhatsApp berkenaan yang didakwa digunakan untuk menjalankan pelbagai aktiviti penipuan dalam talian.
Menurutnya, beliau menerima maklumat daripada orang awam pada Rabu mengenai kewujudan individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan identitinya bagi menjalankan penipuan seperti skim pelaburan, penipuan cinta dan pelbagai modus operandi lain yang boleh menyebabkan kerugian kepada mangsa.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa akaun WhatsApp itu bukan milik saya. Tambahan pula, nombor telefon yang digunakan ialah nombor luar negara.
“Saya menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mempercayai atau terperdaya dengan individu tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ling, ini bukan kali pertama identitinya disalahgunakan oleh sindiket penipuan dan beliau menjangkakan kejadian sedemikian akan terus berulang memandangkan beliau merupakan seorang figura yang dikenali ramai dan gambar-gambarnya mudah diperoleh menerusi media sosial.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak panik dan sentiasa berfikir secara rasional apabila menerima mesej atau panggilan daripada individu tidak dikenali.
"Pelbagai teknik akan digunakan oleh scammer untuk memperdayakan mangsa. Jangan mudah terpengaruh, termasuk menjalinkan hubungan cinta secara dalam talian tanpa mengenali individu tersebut secara sebenar.
“Sekiranya menerima perkara yang mencurigakan, berbincanglah dengan ahli keluarga terdekat," katanya.
Ling turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai rayuan atau mesej daripada pihak yang tidak dikenali sehingga mendorong mereka memindahkan wang kepada pihak terbabit.
Beliau menjelaskan bahawa beliau hanya mempunyai satu nombor telefon aktif yang digunakan untuk berhubung dengan orang awam.
"Jika terdapat sebarang keraguan atau kebimbangan, orang ramai boleh menghubungi saya secara terus di talian 016-8733663 bagi mendapatkan pengesahan," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan perkembangan teknologi masa kini kerana data dan maklumat peribadi seseorang semakin mudah diperoleh serta disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk memperdayakan orang lain.