MIRI: Pembinaan Jambatan Sungai Bale di Ulu Baram bukan sekadar menghubungkan dua tebing sungai, sebaliknya menjadi simbol kemajuan serta pemangkin pembangunan sosioekonomi masyarakat pedalaman.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala berkata, jambatan itu memberi manfaat secara langsung kepada 19 rumah panjang serta lapan jabatan dan agensi kerajaan di kawasan Bario, selain enam rumah panjang dan kampung serta empat jabatan dan agensi kerajaan di Long Banga dan Long Peluan.
Menurutnya, projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak untuk memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih selamat, selesa dan berdaya tahan.
“Jambatan ini bukan sekadar sebuah struktur fizikal, malah menghubungkan kehidupan, peluang ekonomi, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan hubungan sosial masyarakat setempat.
“Dengan siapnya jambatan ini, perjalanan rakyat menjadi lebih selamat, lebih cepat dan lebih efisien sepanjang tahun,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Perasmian Jambatan Sungai Bale, Ulu Baram, semalam.
Beliau berkata, Jambatan Sungai Bale merupakan jambatan pertama daripada tiga unit jambatan keluli jenis Bailey Bridge yang dibekalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi memenuhi keperluan mendesak di kawasan pedalaman Sarawak.
Katanya, jambatan itu siap dibina pada Mac lalu dengan kos RM2.7 juta manakala pembinaan Jambatan Sungai Benuang di Long Jeeh sedang dilaksanakan dengan kos RM1.9 juta dan Jambatan Sungai Bunau di Long Tebangan akan dibina dengan kos RM2.2 juta.
Dalam pada itu, Gerawat berkata, hasil paling signifikan daripada lawatan kerja Timbalan Premier Sarawak ke Bario tahun lalu ialah keputusan bersejarah Kerajaan Sarawak untuk mengambil alih jalan-jalan balak di seluruh negeri dan mewartakannya sebagai Jalan Negeri.
Menurutnya, langkah itu membolehkan kerajaan mempunyai asas yang lebih kukuh untuk mendapatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan penaiktarafan jalan.
“JKR telah mengenal pasti lebih 5,000 kilometer jalan balak di seluruh Sarawak untuk tujuan pengambilalihan dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,360 kilometer terletak di bahagian Miri serta kawasan Ulu Baram,” katanya.
Beliau berkata, melalui Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), kerajaan telah melaksanakan lebih 20 projek penaiktarafan jalan di Ulu Baram melibatkan lebih 400 kilometer jalan dengan kos melebihi RM1.2 bilion.
Selain itu, projek Jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama sepanjang kira-kira 175 kilometer yang bernilai lebih RM3 bilion sedang dilaksanakan dan dijangka menjadi pemangkin pembangunan di kawasan Apoh-Tutoh dan Baram.
Pada masa sama katanya, kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut menyediakan peruntukan khas bagi membaik pulih jalan dan jambatan yang rosak akibat bencana alam.
Sehingga kini, sebanyak 15 projek pembaikan dan penggantian jambatan serta jalan telah diluluskan di kawasan Baram dengan kos keseluruhan melebihi RM36 juta yang termasuk projek-projek di Long Silat, Long Mekaba, Long Jekitan, Long Kesseh, Long Julan, Long Anap, Long Aya, Long Aton, Long Terawan, Long Bedian, Long Tap dan Selungo.
Beliau menegaskan dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Sarawak mengabaikan keadaan jalan dan jambatan di Ulu Baram adalah tidak tepat kerana pelbagai projek sedang dilaksanakan dan lebih banyak lagi dirancang demi memastikan tiada rakyat Sarawak tercicir daripada arus pembangunan.
"Hakikatnya, pelbagai projek sedang dilaksanakan dan banyak lagi dalam perancangan. Namun kita harus bersikap realistik.
Dengan rangkaian jalan sepanjang ribuan kilometer dan ratusan struktur jambatan yang memerlukan perhatian, proses pembangunan ini sememangnya memerlukan masa, perancangan rapi dan peruntukan yang besar.
Apa yang penting ialah kerja-kerja ini sedang dilaksanakan secara berterusan dan bukan sekadar janji," jelas Gerawat.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datu Chiew Chee Yaw, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Wisil Lichok dan Residen Bahagian Miri Galong Luang.