This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online
MIRI: Kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi kerana nilai murni dan akhlak terpuji perlu terus diterapkan seiring dengan penggunaan teknologi di sekolah-sekolah Cina di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, perkara itu penting bagi memastikan bakat-bakat dari Sarawak terus menyerlah di dalam mahupun di luar negeri, namun tetap berpegang kepada rasa syukur dan kecintaan terhadap tanah air yang dipupuk sejak di bangku sekolah.
Menurut beliau, anak-anak Sarawak yang berjaya di luar negeri perlu menghargai nilai kesyukuran dan mempunyai semangat untuk kembali berbakti kepada Sarawak.
"Adalah penting bagi bakat-bakat Sarawak yang berjaya di luar negeri menghargai nilai kesyukuran dan mempunyai hati untuk pulang menyumbang kepada pembangunan Sarawak," katanya ketika merasmikan projek Bilik Darjah Pintar di SJKC Chung Hua Krokop, hari ini.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sekolah menengah persendirian Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) memainkan peranan yang tidak dapat digantikan dalam perjalanan pembinaan negara di Sarawak.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pembangunan dan keperluan sekolah-sekolah berkenaan melalui peruntukan dana yang dimulakan oleh bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
Berkongsi pengalaman peribadi, Dr Sim berkata beliau pernah mengetepikan peluang kerjaya lumayan di luar negara selepas pulang dari Australia dan seterusnya menubuhkan pusat jantung pertama di Sarawak.
Menurutnya, beliau turut melatih ramai pelajar yang kini cemerlang dan berkhidmat di hospital kerajaan serta swasta di seluruh negara.
Pelancaran tersebut menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan sekolah berkenaan dan langkah signifikan ke arah memperkasakan pendidikan digital di Sarawak.
Terdahulu ADUN Pujut dan Datuk Bandar yang juga Setiausaha Lembaga Pengurusan Sekolah itu, Adam Yii berkata, inisiatif tersebut melengkapkan sekolah dengan empat papan putih pintar interaktif dan unit pengajaran serba lengkap.
Beliau memberitahu, kemudahan itu membolehkan guru menggunakan kaedah pengajaran yang lebih pelbagai dan menarik, selain memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih moden dan berkualiti kepada murid.
"Hari ini, kita bukan sekadar melancarkan bilik darjah pintar, tetapi membuka lembaran baharu dalam inovasi pendidikan.
"Saya percaya selagi semua pihak terus berganding bahu, inisiatif ini mampu memupuk pemikiran inovatif, kebolehan menyelesaikan masalah serta daya saing murid dalam menghadapi cabaran masyarakat pada masa depan," katanya.
Projek Bilik Darjah Pintar itu dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dan diselaraskan menerusi Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Sarawak.
Sebelum ini, SJKC Chung Hua Krokop turut menerima lebih RM700,000 peruntukan pembangunan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kerja-kerja membaik pulih bilik darjah, menaik taraf dewan sekolah, mengubah suai bilik guru dan perpustakaan serta menambah baik permukaan jalan dan sistem perparitan di kawasan sekolah.
Menurut Yii dengan perasmian Bilik Darjah Pintar itu, SJKC Chung Hua Krokop kini bukan sahaja memiliki kemudahan sekolah yang lebih lengkap, malah turut dilengkapi peralatan pengajaran yang lebih canggih, sekali gus meningkatkan persekitaran pembelajaran ke tahap yang lebih tinggi.
Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting, Presiden Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Rendah Cina Bersatu Sarawak Dato Jonathan Chai dan Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah Rendah Cina Bahagian Miri Penghulu Desmond Yap.