This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online
MIRI: Sebuah pondok kayu kosong musnah dalam kebakaran yang berlaku di tepi Bulatan Saberkas di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.33 tengah malam.
Bertindak atas panggilan diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bersama bantuan BBP Miri digerakkan ke lokasi yang terletak sejauh enam kilometer dari balai.
Sebaik tiba di lokasi kejadian pada jam 12.41 tengah malam, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kebakaran melibatkan sebuah pondok jenis tidak kekal berukuran 10 x 6 meter dan api sedang marak memusnahkan keseluruhan struktur pondok berkenaan.
“Api yang marak berjaya dikawal pada jam 1 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya menggunakan dua aliran hos salur bantu mula dan satu aliran hos hantaran sepanjang 100 kaki daripada pam jentera dengan sumber air diperoleh daripada tangki jentera.
"Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran hanya melibatkan pondok kosong di tepi jalan dan tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Raymond Sigan itu ditamatkan pada jam 2.25 pagi selepas anggota memastikan lokasi kejadian berada dalam keadaan selamat.
Seramai 14 anggota terbabit dalam operasi berkenaan dengan bantuan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT), dua Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).