MIRI: Pelaksanaan had subsidi diesel sebanyak 200 liter tidak wajar disamakan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia memandangkan keadaan geografi negeri ini yang jauh berbeza, kata Naib Pengerusi Pusat Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kelvin Hii (gambar).
Beliau berkata, keluasan Sarawak yang hampir menyamai keseluruhan Semenanjung Malaysia menyebabkan perjalanan dari satu kawasan ke kawasan lain lazimnya melebihi 100 kilometer, sekali gus menjadikan kuota subsidi sebanyak 200 liter tidak mencukupi bagi ramai pemilik kenderaan diesel di negeri ini.
Menurutnya, daripada 700,000 kenderaan di seluruh negara yang dijangka menerima manfaat subsidi diesel, kira-kira 300,000 daripadanya adalah di Sarawak, sekali gus menunjukkan negeri ini antara yang paling terkesan dengan pelaksanaan dasar berkenaan.
"Walaupun Kerajaan Persekutuan memaklumkan dasar ini akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum ditambah baik, pemilik kenderaan diesel di Sarawak tidak seharusnya dijadikan 'tikus makmal'.
"Masalah sepatutnya dicegah sebelum ia berlaku, bukannya menunggu sehingga rakyat terbeban terlebih dahulu sebelum penambahbaikan dibuat," katanya dalam satu kenyataan.
Hii turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menetapkan kuota subsidi diesel yang lebih tinggi terlebih dahulu sebelum membuat pelarasan berdasarkan data yang diperoleh.
Beliau menegaskan bahawa kuota sebanyak 200 liter sememangnya tidak mencukupi, terutama bagi penduduk luar bandar yang terpaksa berulang-alik setiap hari merentasi bahagian atau antara kampung dan bandar, menyebabkan penggunaan diesel mereka jauh lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa hairan apabila Parti Tindakan Demokratik (DAP) memilih untuk mengulas isu melibatkan dasar Kerajaan Persekutuan melalui media, bukannya menyelesaikannya terlebih dahulu di peringkat parti atau Kabinet.
"Adakah DAP sudah lupa bahawa mereka merupakan salah satu parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan? Atau mereka gagal berkomunikasi secara dalaman sehingga terpaksa menggunakan media untuk menyelesaikan isu kerajaan? Atau adakah ini sekadar satu lagi usaha meraih publisiti politik?" soalnya.
Beliau berkata, DAP merupakan parti kerajaan yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling ramai di Malaysia dan seharusnya memainkan peranan lebih berkesan dalam menyemak serta memperbaiki dasar kerajaan.
Menurutnya, jika parti itu sendiri tidak mampu memperbaiki dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan yang dianggotainya, sukar untuk mendakwa mereka sebagai kuasa semak dan imbang yang berkesan.
"Namun seperti kebiasaannya, DAP terus menyalahkan GPS, bukannya bersuara secara proaktif di dalam Kabinet demi memperjuangkan kepentingan rakyat dan menyelesaikan isu tersebut dari dalam kerajaan," katanya.