KRT is the heartbeat of the community, bringing together people of all races

Posted on 19 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Ting (duduk, tengah di meja utama) merakamkan kenangan bersama tetamu pada Majlis Segulai Sejalai Hari Gawai KRT Daerah Miri dan JPNIN Bahagian Miri, malam Khamis.

This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online 

MIRI: Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kini tidak lagi hanya berperanan menjaga keselamatan kejiranan, sebaliknya telah berkembang menjadi nadi yang menyatukan masyarakat melalui pelbagai program kemasyarakatan dan kesukarelawanan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, peranan KRT kini turut merangkumi aktiviti kebudayaan, program belia, inisiatif alam sekitar, tindak balas kecemasan serta kebajikan komuniti.

“Apabila jiran saling mengenali, mempercayai dan mengambil berat antara satu sama lain, komuniti kita akan menjadi lebih kukuh, selamat dan berdaya tahan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa KRT dan sukarelawan yang telah berkhidmat tanpa mengharapkan balasan demi mewujudkan kejiranan yang lebih bersatu dan penyayang.

Beliau berkata demikian pada Majlis Segulai Sejalai Hari Gawai KRT Daerah Miri dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Miri di sini, malam Khamis.

Ting berkata, tema 'Segulai Sejalai' yang membawa maksud berjalan bersama sebagai satu pasukan, amat bertepatan dengan semangat perpaduan yang menjadi identiti rakyat Sarawak.

Menurut beliau, kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak bukanlah sesuatu yang memisahkan masyarakat, sebaliknya menjadi kekuatan yang memperkayakan kehidupan rakyat di negeri ini.

“Tidak kira sambutan Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, Kaamatan atau perayaan lain, kita meraikannya bersama sebagai satu keluarga besar Sarawak.

“Semangat ini tidak terbentuk dalam sekelip mata, sebaliknya dipupuk sejak sekian lama oleh ibu bapa, pemimpin masyarakat, ketua kampung dan jiran tetangga yang mengajar kita bahawa rasa hormat, persefahaman dan sikap saling membantu merupakan asas kepada sebuah masyarakat yang aman,” katanya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk terus memelihara nilai-nilai tersebut demi masa depan anak-anak dan generasi akan datang.

Sebagai timbalan menteri yang bertanggungjawab terhadap sektor pelancongan, Ting berkata ramai pelawat dari seluruh dunia sering bertanya mengenai keunikan Sarawak.

Menurutnya, keistimewaan Sarawak bukan sahaja terletak pada keindahan hutan hujan, gua, taman negara dan makanan tradisionalnya, tetapi yang lebih penting ialah rakyatnya yang hidup dalam suasana harmoni.

“Para pelawat kagum melihat masyarakat daripada pelbagai latar belakang etnik dapat duduk bersama, meraikan perayaan bersama dan saling menghormati kepercayaan serta tradisi masing-masing.

“Inilah cara hidup rakyat Sarawak yang perlu terus kita pertahankan,” ujarnya.

Beliau berkata, budaya bukan sekadar warisan, malah merupakan antara kekuatan terbesar Sarawak dalam mempromosikan pelancongan, menarik kedatangan pelawat dan membina persefahaman di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, ketika Sarawak meneruskan usaha ke arah menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, kekuatan terbesar negeri ini tetap terletak pada rakyatnya.

“Pembangunan ekonomi mampu membina bandar, jalan raya dan industri, namun perpaduanlah yang membina sebuah masyarakat yang aman dan berdaya tahan.

“Program seperti malam ini mengingatkan kita bahawa keharmonian bermula dalam kejiranan sendiri, apabila masyarakat saling mengenali, menghormati dan berdiri bersama ketika menghadapi sebarang cabaran,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada JPNIN Bahagian Miri, semua Jawatankuasa Rukun Tetangga, para sukarelawan serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis berkenaan.

“Semoga semangat ‘Segulai Sejalai’ terus menjadi pegangan kita dalam memperkukuhkan perpaduan, memupuk persefahaman dan membina masyarakat yang lebih harmoni di negeri Sarawak yang kita cintai ini.

“Marilah kita terus berganding bahu, menghormati kepelbagaian, memperkukuhkan semangat kejiranan dan memastikan Sarawak terus dikenali sebagai contoh terbaik perpaduan di Malaysia,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah JPNIN Sarawak Giri Nyareng, Pegawai Perpaduan Bahagian Miri Diana Seliman, Pengerusi Pengelola merangkap Pengerusi KRT Tudan Fasa Lima Juli Gindi dan Pengerusi Permuafakatan KRT Daerah Miri Ketua Kaum Suhaimi Obeng.