The government will continue to support youth organizations

Posted on 19 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Abdul Karim memutarkan siren kapal sebagai simbolik Majlis Penangguhan Rasmi Kem Pendidikan Marin Pengakap Laut Sarawak 2026 yang berakhir di Miri, hari ini sambil disaksikan Safri (tiga kiri), Lim (tiga kanan) dan yang lain.

This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online 

MIRI: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan akan terus memperkukuh sokongan terhadap pertubuhan belia termasuk Persekutuan Pengakap Malaysia bagi melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berdaya saing serta memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri melihat pergerakan seperti Pengakap memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan kepimpinan golongan muda melalui penerapan nilai khidmat masyarakat, kerjasama serta semangat sentiasa bersedia membantu.

Menurut beliau, walaupun dunia kini semakin dipengaruhi perkembangan teknologi dan komunikasi digital, usaha memupuk nilai kemanusiaan serta interaksi secara bersemuka dalam kalangan belia perlu terus diperkasakan menerusi penyertaan dalam badan-badan sukarela.

"Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong penganjuran program seperti ini kerana kita melihat manfaat yang sangat besar kepada pembangunan anak-anak muda, khususnya mereka yang masih di bangku sekolah.

"Melalui program seperti ini mereka bukan sahaja diterapkan dengan semangat kesukarelawanan dan khidmat kepada masyarakat, malah dapat membina hubungan persahabatan, kepimpinan serta kemahiran hidup yang tidak boleh diperoleh hanya melalui penggunaan gajet," katanya.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Kem Pendidikan Marin Pengakap Laut Sarawak 2026 dan pelancaran Unit Pengakap Kanak-kanak Laut, Miri di sini, hari ini.  

Beliau memberitahu kementeriannya memiliki pelbagai dana pembangunan belia yang boleh dimanfaatkan oleh pertubuhan seperti Pengakap bagi melaksanakan program pembangunan modal insan di seluruh Sarawak.

Katanya, kemudahan milik kerajaan seperti Kem Belia Bukit Lima di Sibu dan Kem Belia Kuching juga boleh digunakan bagi menganjurkan perkhemahan, kursus kepimpinan serta pelbagai aktiviti pembangunan belia.

"Matlamat kita ialah menghimpunkan golongan belia supaya mereka dapat dibimbing, dididik dan dibentuk menjadi insan yang lebih baik serta sentiasa bersedia menyumbang kepada masyarakat," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa lebih ramai sukarelawan tampil menyumbang masa dan tenaga bagi memastikan program pembangunan belia dapat dilaksanakan secara berterusan.

Menurutnya, cabaran utama ketika ini bukan semata-mata kekurangan dana, sebaliknya mendapatkan individu yang sanggup mengorbankan masa untuk mengurus dan menjayakan program-program kesukarelawanan.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa Pergerakan Pengakap, Abdul Karim turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menyokong penganjuran Kem Pendidikan Pengakap Laut Nusantara 2026.

Beliau berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan beban penganjur serta menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program pembangunan belia pada masa depan.

"Tidak bermakna bantuan hanya diberikan sekali. Sekiranya terdapat program yang benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan belia serta mampu membentuk generasi muda yang lebih berdisiplin, berdaya saing dan mempunyai semangat kesukarelawanan, kementerian akan terus mempertimbangkan untuk memberikan sokongan," katanya.

Beliau turut berharap program yang menghimpunkan Pengakap dari Malaysia, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia itu diteruskan pada masa depan kerana mampu mengeratkan hubungan serantau selain memperkukuhkan semangat perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan generasi muda Nusantara.

Lebih 100 pelajar sekolah menengah dan rendah dari bahagian Miri serta di Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia telah mengambil bahagian dalam perkhemahan yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Jun, di Kelab Bot Piasau di sini. 
 
Majlis penangguhan program itu turut dihadiri Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Datuk Mohamad Safri Datuk Abdillah, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak John Lim Boon Beng, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam Awang Junaidi Hussain, Ketua Kontinjen Pramuka Indonesia Ade Zulkarnaen, Pesuruhjaya Kehormat Pengakap Sarawak Kapten Zainudin Tan Sri Hamdan dan Setiausaha Politik Premier Sarawak Sarkawi Suhaili.