This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online
MIRI: Pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi telah mengambil bahagian dalam Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Tembak Tahunan 2026 yang berlangsung selama empat hari di Lapang Sasar Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri, baru-baru ini.
Latihan yang diadakan dari 23 hingga 26 Jun itu menggunakan pistol separa automatik sebagai senjata utama dan bertujuan meningkatkan kemahiran, kecekapan serta tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggota dalam pengendalian senjata api ketika menjalankan tugas operasi sebenar.
Selain memperkukuhkan kemahiran menembak, latihan tersebut turut memberi penekanan terhadap pematuhan prosedur keselamatan senjata api serta menilai tahap kelayakan setiap pegawai dalam mengendalikan senjata mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sebelum latihan bermula, taklimat menyeluruh telah disampaikan oleh jurulatih, Sarjan John Jonathan dengan dibantu empat anggota urus setia.
Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya, IPD Marudi memberitahu bahawa taklimat itu merangkumi aspek cara dan kedudukan menembak, langkah keselamatan, tatacara pengendalian senjata api, arahan di lapang sasar serta prosedur yang perlu dipatuhi oleh setiap penembak bermula dari memasuki kawasan latihan sehingga tamat sesi menembak.
Turut diadakan ialah upacara angkat sumpah selepas setiap sesi menembak selesai dan proses mengutip kelongsong peluru dilaksanakan.
Sepanjang latihan berlangsung, semua peserta menunjukkan disiplin tinggi, memberikan kerjasama sepenuhnya serta mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pegawai bertugas.
Kenyataan itu menambah, latihan tahunan seumpama itu menjadi platform penting bagi memastikan warga IPD Marudi sentiasa bersedia, cekap dan kompeten dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan serta menjaga keselamatan awam.