This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online
MIRI: Sebanyak 16 buah motosikal disita manakala 45 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang dijalankan bermula jam 11 malam pada Jumaat hingga 3 pagi Sabtu itu memberi tumpuan di kawasan bandar raya Miri, Jalan Miri Bypass, Jalan Marina, Jalan Canada Hill dan Jalan Senadin.
Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam.
"Hasil operasi, seramai 38 individu terdiri daripada 32 lelaki dan enam wanita bersama 35 buah motosikal telah diperiksa.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 16 motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 45 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dikesan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah menunggang motosikal tanpa lesen memandu, melakukan pengubahsuaian struktur motosikal, mengubah suai ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising, tidak memasang cermin sisi, tiada nombor pendaftaran serta menggunakan nombor pendaftaran 'fancy', selain pelbagai kesalahan teknikal lain.
Mohd Farhan menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan kerana perbuatan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian yang menyalahi spesifikasi asal kenderaan serta mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan diminta menyalurkannya kepada IPD Miri atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu tindakan penguatkuasaan.