Gawai Day is not just a celebration, but a symbol of unity

Posted on 19 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
(Dari kanan) Huang, Abau,Yii dan Hii menggulung tikar rotan sebagai simbolik penutupan sambutan Hari Gawai Dayak menerusi upacara Ngiling Tikai.

This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online

MIRI: Hari Gawai yang diraikan masyarakat Dayak bukan sekadar sebuah perayaan sebaliknya menjadi lambang perpaduan yang merupakan kekuatan terbesar Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii. 

Beliau berkata, Hari Gawai turut melambangkan nilai kekeluargaan, semangat gotong-royong, sikap saling menghormati serta kehidupan bermasyarakat yang bersatu padu, sekali gus mencerminkan keunikan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

"Di Sarawak, Hari Gawai bukan hanya disambut oleh masyarakat Dayak. Kaum Cina turut hadir, begitu juga orang Melayu, Melanau, Orang Ulu, Bidayuh dan Iban. Semua saling mengunjungi antara satu sama lain. Inilah Sarawak yang kita banggakan.

"Kita tidak melihat warna kulit, agama atau bangsa. Kita melihat semua sebagai anak Sarawak," katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Gawai Dayak dan Ngiling Tikai anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pujut di sini malam Sabtu.

Mengulas lanjut, Yii berkata ramai pihak dari luar kagum dengan kemampuan rakyat Sarawak hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni, sambil menegaskan perpaduan yang dinikmati hari ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi dibina sejak sekian lama.

Katanya, perpaduan itu telah dipupuk selama berdekad-dekad oleh ibu bapa, dipelihara oleh para pemimpin dan kini menjadi tanggungjawab generasi masa kini untuk terus mempertahankan serta mewariskannya kepada generasi akan datang.

"Sebab itu saya sentiasa mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang diselewengkan di media sosial. Ada pihak yang sengaja mahu membangkitkan kemarahan, memecahbelahkan perpaduan dan membawa budaya politik luar ke Sarawak yang dipenuhi fitnah, kebencian serta perpecahan. Budaya itu bukan budaya Sarawak.

"Di Sarawak, walaupun kita mempunyai perbezaan pendapat, kita tetap saling menghormati dan tidak menyimpan kebencian kerana kita tahu jika perpaduan musnah, pembangunan juga akan terjejas," katanya.

Yii yang juga Datuk Bandar Miri berkata, perpaduan yang dinikmati rakyat Sarawak turut menjadi kekuatan utama negeri ini dalam memperjuangkan hak-haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, rakyat Sarawak perlu terus bersatu kerana masih banyak hak yang termaktub di bawah MA63 yang perlu diperjuangkan.

"Jika kita berpecah, suara Sarawak akan menjadi lemah. Tetapi jika seluruh rakyat bersatu, suara Sarawak akan menjadi jauh lebih kuat di meja rundingan," katanya.

Pada majlis sama, Yii turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kawasan Pujut atas kepercayaan yang diberikan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021.

Katanya, kepercayaan itu dibalas dengan komitmen berterusan untuk membangunkan kawasan Pujut menerusi pelbagai projek penambahbaikan, termasuk pembinaan taman rekreasi baharu, pemasangan lampu jalan diod pemancar cahaya (LED), naik taraf sistem perparitan, pembaikan jalan raya, penambahbaikan kemudahan sekolah serta bantuan membaik pulih rumah.

Beliau berkata, rumah-rumah ibadat pelbagai agama turut menerima bantuan pembangunan, manakala kemudahan komuniti terus dipertingkatkan.

"Semua ini tidak berlaku dalam sekelip mata. Sedikit demi sedikit, hari demi hari, kita terus bekerja. Masih banyak yang perlu dilakukan, namun saya yakin dengan kerjasama semua pihak, kita akan terus membawa lebih banyak pembangunan kepada kawasan Pujut," katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Pemuda Pusat SUPP Kelvin Hii, Penghulu Abau Nawing dan Kaunselor Sean Huang.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis berkenaan.