Users need to keep being empowered with knowledge and information

Posted on 19 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Zulhaidah (kiri) menerangkan mengenai hak pengguna kepada orang ramai ketika Program Jualan Rahmah MADANI di pasar raya Nam Leong, Senadin.

This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online

MIRI: Pengguna perlu terus diperkasa dengan ilmu dan maklumat supaya mampu membuat keputusan pembelian secara bijak berdasarkan keperluan sebenar, sekali gus mengelakkan mereka daripada terperdaya dengan produk atau perkhidmatan yang tidak berkualiti.

Wakil Penggerak Komuniti Pengguna (PKP) Zulhaidah Suboh berkata, usaha memperkukuh kesedaran kepenggunaan perlu dilaksanakan secara berterusan menerusi aktiviti advokasi dan pendidikan kepada masyarakat.

Menurut beliau, PKP merupakan inisiatif di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melantik wakil di peringkat akar umbi bagi membantu memperkasa pengguna serta memantau isu-isu berkaitan kepenggunaan dalam komuniti.

"Peranan PKP adalah untuk mendidik dan memperkasa pengguna agar lebih bijak membuat pilihan pembelian serta peka terhadap aspek keselamatan produk, khususnya barangan yang melibatkan kanak-kanak," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Sibuti berkata demikian ketika menyertai Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di pasar raya Nam Leong, Senadin, semalam.

Pada program itu, Zulhaidah mengedarkan risalah berkaitan Hak Pengguna dan Panduan Keselamatan Mainan Kanak-kanak kepada orang ramai yang hadir membeli-belah.

Katanya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PKP dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak pengguna serta kepentingan memilih produk yang selamat dan berkualiti.

"Saya berharap usaha ini dapat memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan memahami hak sebagai pengguna serta memastikan produk yang dibeli, terutama untuk kanak-kanak, memenuhi aspek keselamatan," ujarnya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat mengenai hak pengguna dan menyalurkan sebarang aduan kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan isu berkaitan produk atau perkhidmatan di pasaran.