This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online
MIRI: Vestigo Petroleum Sdn Bhd (Vestigo) mengesahkan kebakaran berlaku di kemudahan West Lutong Vent A (WLV-A) miliknya di luar pesisir Sarawak pada Ahad dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Dalam kenyataan media hari ini, anak syarikat Petronas Carigali itu memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang sebelum api berjaya dikawal.
Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan selain mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya bagi menguruskan sebarang potensi risiko susulan insiden berkenaan.
Vestigo turut memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan atau kakitangan yang terjejas, selain insiden itu tidak menimbulkan ancaman serta-merta kepada komuniti berhampiran mahupun alam sekitar.
Katanya, syarikat kekal komited untuk memastikan keselamatan kakitangan, melindungi alam sekitar serta mengekalkan integriti operasinya.
Semalam, rakaman video kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan kepulan asap hitam tebal keluar dari pelantar luar pesisir berkenaan sehingga mencetuskan spekulasi bahawa berlaku letupan.
Bagaimanapun, Vestigo menjelaskan insiden itu hanya melibatkan kebakaran di fasiliti berkenaan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.