Miri smart buses will be increased if the response is encouraging

Posted on 19 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Lee (berdiri,10 kiri) bersama pelajar dan guru SMK Lopeng Tengah sebelum menaiki bas sempena Program Kesedaran Penggunaan Bas Pintar Miri, hari ini.

This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online 

MIRI: Kementerian Pengangkutan Sarawak bersedia menambah bilangan bas pintar Miri pada masa depan sekiranya sambutan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam percuma itu terus menggalakkan.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kerajaan negeri akan membuat penilaian terhadap tahap penggunaan perkhidmatan berkenaan sebelum mempertimbangkan penambahan bilangan bas dan perluasan laluan.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan lebih ramai penduduk di kawasan bandar raya Miri mendapat akses kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih cekap dan selesa.

"Kita memang mempunyai perancangan untuk menambah bilangan bas supaya lebih banyak kawasan dalam bandar raya Miri dapat diliputi sekiranya sambutan terus menggalakkan.

“Ini juga dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian pengguna, selain mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pelepasan karbon dioksida (CO),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kesedaran Penggunaan Bas Pintar Miri dan Pengalaman Menaiki Bas Untuk Pelajar di Miri di SMK Lopeng Tengah di sini, hari ini.
 

Lee berkata, kerajaan juga ingin memperkenalkan konsep 'park and ride' iaitu pengguna memandu dan meletakkan kenderaan di tempat selamat sebelum meneruskan perjalanan menggunakan bas ke destinasi masing-masing.

“Saya pernah bertanya kepada seorang pengguna yang mengamalkan cara ini dan beliau memberitahu dapat menjimatkan kira-kira RM300 sebulan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai penduduk di bandar raya Miri termasuk pelajar dan guru menggunakan pengangkutan awam pada masa akan datang bagi membolehkan kerajaan mencapai matlamat mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan pelepasan karbon dioksida serta membudayakan penggunaan pengangkutan awam.

Dalam pada itu, beliau berkata program yang dilaksanakan itu akan diteruskan supaya semua sekolah di Miri memanfaatkan perkhidmatan bas percuma tersebut.

“Sebelum ini, kita telah menganjurkan program yang sama sebanyak tiga kali dan ini merupakan kali keempat yang dianjurkan di SMK Lopeng hari ini (Isnin).

“Setakat ini, Miri mempunyai sebanyak 14 buah bas pintar yang beroperasi dengan dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) serta menyediakan akses maklumat secara masa nyata, anggaran masa ketibaan dan sambungan laluan kepada pengguna,” ujarnya.