This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) sedang meneliti cadangan mengenakan hukuman lebih tegas terhadap individu yang membuang sampah secara haram, termasuk pelaksanaan khidmat masyarakat, dalam usaha membendung masalah tersebut daripada berlarutan di bandar raya ini.
Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, cadangan itu sedang dikaji berikutan isu pembuangan sampah haram yang telah sekian lama menimbulkan pelbagai masalah di seluruh kawasan Miri.
Menurut beliau, pendidikan dan kesedaran awam merupakan antara agenda utama yang dibincangkan pada Mesyuarat Penuh Majlis setiap bulan, dengan harapan penglibatan serta kerjasama masyarakat dapat mengurangkan kejadian pembuangan sampah secara haram.
"Pada pagi ini juga, kami membincangkan sama ada perlu mengadakan sesi libat urus bersama media mengenai isu pembuangan sampah haram. Kami mempunyai gambar keadaan sebelum dan selepas kerja pembersihan, malah dalam beberapa kes, kami berjaya mengesan individu yang melakukan kesalahan tersebut.
"Dengan menyiarkan gambar-gambar berkenaan, ia mungkin dapat menjadi peringatan kepada orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan yang sama," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis, di Dewan Bandaraya Miri, hari ini.
Beliau berkata, MBM turut berminat untuk mengurangkan masalah pembuangan sampah dan pencemaran melalui pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat.
Cadangan itu selaras dengan pendekatan di bawah Dasar Kebersihan Negara oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang memperuntukkan pesalah boleh dikenakan denda lebih tinggi serta diwajibkan menjalankan kerja-kerja pembersihan sehingga 12 jam atas perintah mahkamah.
"Pada peringkat ini, kami perlu meneliti mekanisme dan kebolehlaksanaan pelaksanaan langkah tersebut.
"Sebagai sebahagian daripada proses itu, pindaan kepada undang-undang berkaitan mungkin juga diperlukan," jelasnya.
Yii turut mendedahkan bahawa sepanjang tahun 2025, sebanyak 15 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas pembuangan sampah haram, membabitkan sisa domestik bersaiz besar dan sisa industri, sekali gus memaksa MBM menjalankan kerja pembersihan menggunakan wang pembayar cukai.
Beliau menegaskan, pembuangan sampah haram bukan sekadar menjejaskan kebersihan malah memberi kesan serius terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.
"Ia mencemarkan sungai dan sistem perparitan, merosakkan tanah, menarik kehadiran haiwan perosak serta pembawa penyakit, mewujudkan persekitaran yang tidak menyenangkan dan menjejaskan imej Miri sebagai bandar raya yang bersih, hijau serta sesuai didiami.
"Selain itu, pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab turut meningkatkan risiko banjir akibat saliran tersumbat serta memberi tekanan kepada sumber pengurusan sisa milik majlis," katanya.
Sehubungan itu, MBM mengingatkan semua penduduk, premis perniagaan dan kontraktor bahawa pembuangan sampah secara haram atau merata-rata, merupakan satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Kebersihan) 1998, yang memperuntukkan kompaun sehingga RM1,000 terhadap pesalah.
Beliau turut menggalakkan orang ramai melaporkan sebarang kegiatan pembuangan sampah haram melalui talian am MBM di 085-433501 atau Bahagian Pengurusan Pembersihan Awam di talian 085-442411, selain Pusat Kawalan Bandar Pintar Miri (MSCCC) di talian 085-424600 atau WhatsApp 019-2144600.
Katanya, maklumat yang disalurkan orang ramai amat membantu pihak Majlis mengenal pasti pesalah dan semua laporan akan dikendalikan secara sulit dengan identiti pemberi maklumat dilindungi.
Sementara itu, mereka yang ingin melupuskan barangan rumah bersaiz besar, sisa domestik atau bahan buangan lain disaran menghubungi MBM yang menyediakan perkhidmatan sewaan lori berkapasiti kurang daripada lima tan bermula serendah RM80 bagi setiap perjalanan tanpa tenaga kerja.
Bagi mereka yang memerlukan bantuan mengangkat barangan, caj tambahan RM150 akan dikenakan, sekali gus menyediakan alternatif yang mudah dan berpatutan berbanding membuang sampah secara haram.