This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online
MIRI: Persatuan Intelektual Peribumi Sarawak (PERANTIS) menyeru semua pihak memperkukuh kerjasama strategik dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang lebih inklusif, dinamik dan berdaya saing bagi melahirkan generasi masa depan yang mampu menghadapi cabaran era digital.
Setiausaha Komunikasi Media Karnival Belia Peribumi 2026 Jacqueline Martin berkata, pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk masa depan masyarakat, justeru akses kepada peluang pendidikan dan pembangunan kemahiran perlu diperkasakan agar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, inovasi dan revolusi industri digital, sistem pendidikan perlu bergerak seiring dengan perubahan semasa bagi memastikan setiap individu mempunyai peluang untuk mengembangkan potensi diri.
“Pepatah Tionghua menyebut, jika mahu kemakmuran selama setahun, tanamlah bijirin; jika mahu kemakmuran selama sepuluh tahun, tanamlah pokok; namun jika mahu kemakmuran selama seratus tahun, bangunkanlah insan.
“Justeru, pendidikan perlu terus menjadi keutamaan dalam melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, PERANTIS akan menganjurkan Karnival Belia Peribumi 2026 dengan kerjasama Advanced Technology Training Center (ADTEC) Bintulu dan Pusat Khidmat DUN N.59 Tamin di Dewan Serba Guna Selangau pada 25 Julai depan.
Katanya, karnival berkenaan akan menjadi platform kepada pelajar, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian, latihan kemahiran, pembangunan kerjaya serta laluan pendidikan yang bersesuaian dengan minat dan potensi masing-masing.
Beliau berkata, penganjuran itu turut memberi penekanan terhadap kepentingan penguasaan teknologi digital, kemahiran masa depan serta kesiapsiagaan belia dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan yang semakin mencabar.
Selain itu, ekspo pendidikan yang diadakan akan menghimpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi, kolej dan agensi berkaitan di Sarawak bagi memperkenalkan peluang pengajian serta pelbagai inisiatif pendidikan kepada lepasan SPM dan STPM.
“Setiap pelajar tanpa mengira latar belakang akademik, lokasi mahupun keadaan sosioekonomi wajar diberi peluang untuk meneroka potensi diri serta memilih bidang yang selari dengan bakat dan aspirasi masing-masing.
“Kami berharap pelajar dari seluruh Sarawak mengambil peluang menghadiri karnival ini kerana Kerajaan Sarawak kini menyediakan pelbagai pelan pembangunan yang membuka ruang luas kepada golongan belia dalam sektor pelancongan, pemasaran, kebudayaan, kesenian, teknologi dan pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau menambah, pendidikan bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik, sebaliknya berperanan membentuk individu yang memiliki kemahiran, daya tahan, nilai murni serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan dunia.
Menurutnya, dengan akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran yang sesuai, golongan belia dari kawasan bandar mahupun luar bandar berupaya meningkatkan taraf hidup, membantu keluarga serta menyumbang kepada pembangunan Sarawak yang lebih progresif dan sejahtera.