This news in Bhasa Melayu is from : Utusan Borneo Online
MIRI: Yayasan AIDS Malaysia (MAF) hari ini meraikan pembukaan semula dan majlis perpindahan Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) Cawangan Miri ke premis baharu, yang bakal memperluaskan lagi akses bantuan kesihatan komuniti di utara negeri ini.
Acara itu juga menandakan komitmen berterusan dalam memperkukuh akses kepada bantuan kesihatan, sokongan sosial dan perlindungan komuniti, khususnya bagi individu yang hidup dengan HIV, pesakit kronik dan golongan rentan di Sarawak.
Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting.
Acara itu turut diserikan dengan upacara Ngiling Bidai sempena penutupan sambutan Hari Gawai.
Setiausaha Kehormat MAF Dr Zaiton Yahaya dalam ucapan alu-aluannya berkata, pembukaan semula TKTN Miri itu diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak peluang, bantuan dan harapan buat komuniti, selari dengan usaha bersama membina masyarakat yang lebih inklusif, penyayang dan sejahtera.
“Pemindahan TKTN Miri ke premis baharu yang lebih luas dan selesa merupakan langkah penting dalam memperkasakan fungsinya sebagai rumah transit bagi orang yang hidup dengan HIV, pesakit kronik dan golongan rentan, khususnya mereka dari kawasan pedalaman yang memerlukan tempat tinggal sementara untuk mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.
Beliau memberitahu inisiatif itu adalah sebahagian daripada Sarawak dan Sabah Health Access Programme (SHAPE) yang sejak 2018 menyediakan bantuan akses rawatan, pengangkutan ke hospital, sokongan nutrisi, keperluan asas dan bantuan kecemasan kepada komuniti yang memerlukan.
“SHAPE bukan sahaja membantu dari segi akses rawatan tetapi turut menyediakan bantuan pengangkutan ke hospital, sokongan nutrisi, keperluan asas, bantuan kecemasan, serta pengukuhan jaringan sokongan komuniti,” ujarnya.
Terdahulu, Penaung MAF Borneo Datuk Amar Jamilah Anu dalam ucapannya berkata, bermula dari Kuching dan kini berkembang ke beberapa lokasi, Teratak Kasih Tok Nan dibina sebagai langkah kecil yang lahir daripada harapan besar, untuk mendekatkan bantuan serta memastikan sokongan sampai kepada komuniti dengan lebih cepat, lebih mesra dan penuh empati.
“Mengimbas kembali, Teratak Kasih Tok Nan ini bermula dari Kuching dan kini alhamdulillah, kita dapat meluaskan sayapnya ke beberapa lokasi termasuk di Miri.
"Ia bermula sebagai satu langkah kecil yang lahir daripada impian yang besar, iaitu impian arwah Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem) sendiri dan kita semua, untuk memastikan tiada siapa pun dalam komuniti kita yang terpinggir atau berasa keseorangan dalam perjuangan mereka.
“Kepada seluruh pasukan Yayasan AIDS Malaysia dan rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di lapangan, anda adalah nadi komuniti ini.
“Kerja anda bukan sekadar tugas rasmi tetapi ia adalah khidmat kasih sayang.
"Terima kasih kerana sudi menjadi kawan, menjadi pendengar dan menjaga komuniti kita dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang.
"Kepada rakan-rakan korporat kita, Kumpulan Sunway, Yayasan PETRONAS, Majlis Islam Sarawak, Yayasan Sime Darby dan semua penyumbang.
"Kebaikan hati anda semualah yang membolehkan rumah ini terus beroperasi dan terus menabur bakti kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya.
Premis baharu TKTN Cawangan Miri terletak di Lot 334, 2, Jalan Bunga Kertas, dengan waktu operasi Isnin hingga Jumaat, jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi penyelia Marlvin di talian 014-5810694.