This Bahasa Melayu news is from : Utusan Borneo Online
MIRI: Pembukaan semula Teratak Kasih Tok Nan di sini bukan sekadar merasmikan sebuah bangunan baharu, malah menjadi simbol harapan baharu, peluang yang lebih luas serta pengukuhan kerjasama dalam memberi sokongan kepada individu yang hidup dengan HIV di Zon Utara Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata, kemudahan itu menyediakan sebuah rumah yang selesa kepada pesakit, bukannya sekadar sebuah pusat perkhidmatan.
Menurutnya, suasana seperti di rumah mampu memberikan ketenangan, keselesaan dan sokongan emosi kepada mereka yang mendapatkan rawatan serta bantuan.
"Apabila seseorang pulang ke rumah, dia akan berasa selesa dan tenang.
"Begitu juga mereka yang datang ke Teratak Kasih Tok Nan ini.
"Mereka harus merasakan tempat ini sebagai rumah kedua yang memberikan kehangatan, kasih sayang dan harapan.
"Jika semua petugas memberikan layanan yang ikhlas, penuh prihatin dan mesra, mereka yang datang ke sini akan berasa lebih dihargai dan lebih yakin untuk meneruskan kehidupan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan semula Teratak Kasih Tok Nan serta Majlis Ngiling Bidai 2026 di premis baharunya di sini, hari ini.
Ting berkata, persepsi masyarakat terhadap HIV dan AIDS juga telah banyak berubah berbanding tiga dekad lalu apabila penyakit itu sering dikaitkan dengan stigma sehingga pesakit dipulaukan termasuk oleh ahli keluarga sendiri.
"Lebih 30 tahun dahulu, apabila seseorang disahkan menghidap HIV atau AIDS, ramai yang takut untuk mendekati mereka kerana menganggap penyakit itu mudah berjangkit.
"Namun kini, dengan kemajuan rawatan dan ubat-ubatan, keadaan telah banyak berubah.
"Stigma terhadap penghidap HIV semakin berkurangan dan mereka mampu menjalani kehidupan yang lebih berkualiti," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pembukaan semula Teratak Kasih Tok Nan akan memperkukuh usaha memberi perlindungan, sokongan psikososial dan penjagaan kepada golongan berkenaan, khususnya di utara Sarawak.
Dalam pada itu, Ting turut merakamkan penghargaan kepada balu Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, Datuk Amar Jamilah Anu atas dedikasi dan komitmen beliau selama lebih 40 tahun dalam kerja-kerja kebajikan serta membantu masyarakat.
Katanya, sifat rendah diri, keikhlasan dan kasih sayang yang ditunjukkan beliau telah memberi inspirasi kepada ramai pihak bukan sahaja di Sarawak malah di seluruh Malaysia.
Beliau turut mengenang jasa Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan yang disifatkannya sebagai tokoh penting dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak, termasuk meningkatkan kesedaran mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang kemudiannya diteruskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
"Perjuangan yang dimulakan Tok Nan telah menjadi asas kepada kesinambungan usaha Kerajaan Sarawak hari ini.
"Jasa beliau terhadap negeri ini akan sentiasa dikenang," katanya.
Beliau berharap kemudahan itu akan terus menjadi tempat perlindungan yang selamat dan penuh kasih sayang kepada individu yang memerlukan.
Turut hadir ialah Penaung Yayasan AIDS Malaysia Borneo Datuk Amar Jamilah Anu, Setiausaha Kehormat Yayasan AIDS Malaysia dan MAF Dr Zaiton Yahaya serta para pegawai perubatan kanan Hospital Miri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Miri.