This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online
MIRI: Kerja-kerja membaik pulih tembok penahan yang runtuh sehingga menjejaskan tiga buah rumah di Taman Hilltop, Jalan 3A di sini akhirnya bermula, 17 bulan selepas kejadian tanah runtuh Januari tahun lalu.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin ketika meninjau tapak projek itu hari ini berkata, projek tersebut dijangka mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan berikutan kerja-kerja pembaikan yang rumit.
"Kontraktor memaklumkan baki tembok penahan sedia ada perlu dirobohkan terlebih dahulu sebelum dibina semula, diikuti dengan kerja-kerja struktur lain," katanya kepada pihak media di sini.
Sebelum kerja pembinaan diteruskan kata Lee, beliau telah mengarahkan kontraktor menyediakan tangki septik sementara kepada rumah-rumah yang terjejas memandangkan tangki septik asal turut musnah apabila tembok penahan runtuh.
"Mereka sudah menunggu terlalu lama.
"Keadaan semakin buruk dan menjejaskan kehidupan harian mereka," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut mendedahkan projek pembaikan bernilai RM400,000 tersebut dibiayai menerusi Dana Tindak Balas Kecemasan Kerajaan Sarawak yang diperolehi hasil permohonannya.
Selain lokasi berkenaan tambah beliau, tiga lagi kawasan turut memerlukan pembaikan segera susulan kejadian tanah runtuh akibat musim tengkujuh yang berpanjangan pada awal tahun 2025.
Kawasan yang terlibat ialah Riam Hills, Bumiko dan Jalan Tang Lim, dengan peruntukan melebihi RM1 juta telah diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan di keempat-empat lokasi tersebut.
Beliau berkata, kesemua kawasan yang terjejas itu menimbulkan risiko keselamatan yang serius kepada penduduk dan berharap kerja-kerja pembaikan dapat disiapkan secepat mungkin.