MIRI: Bandar Raya Miri bakal menambah satu lagi rangkaian antarabangsa apabila Majlis Bandaraya Miri (MBM) memeterai Memorandum Niat (MoI) dengan bandar Lijiang di wilayah Yunnan, China pada Sabtu ini.
Pemeteraian itu sekali gus membuka peluang lebih luas dalam kerjasama budaya, pendidikan, pelancongan dan pembangunan ekonomi.
Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, majlis menandatangani MoI itu akan berlangsung sempena Karnival Taste of Borneo dan disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pentas utama.
Beliau berkata, hubungan bandar persahabatan merupakan platform rasmi yang membolehkan kedua-dua bandar memperkukuh kerjasama, khususnya melalui penglibatan sektor swasta, manakala MBM bertindak sebagai pemudah cara dan penyelaras.
“Melalui hubungan ini, Miri berpeluang dipromosikan secara lebih meluas, terutama dalam bidang pendidikan, pembangunan perusahaan serta pelbagai sektor lain yang memberi manfaat kepada kedua-dua bandar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MBM di sini, semalam.
Menurut beliau, MBM kini mempunyai hubungan bandar persahabatan dengan beberapa bandar luar negara iaitu Weihai di wilayah Shandong, daerah Guangning di bandar Zhaoqing, bandar Shiyan di wilayah Hubei, bandar Hualien di Taiwan, daerah Gochang di Korea Selatan, La Trinidad di Filipina serta Singkawang dan Tangerang Selatan di Indonesia.
Katanya, MBM sentiasa mengekalkan hubungan aktif dengan semua bandar persahabatan tersebut, termasuk menjemput delegasi mereka menghadiri pelbagai acara penting di Miri seperti sambutan ulang tahun ke-20 Bandar Raya Miri.
“Delegasi dari bandar-bandar persahabatan juga kerap menyertai program utama di Miri termasuk Perarakan Krismas Bandar Raya Miri, malah terdapat bandar yang hadir sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” katanya.
Beliau berkata, MBM berharap lebih banyak bandar persahabatan dapat menyertai acara utama yang dianjurkan di Miri pada masa depan, sekali gus memperkukuh hubungan antarabangsa serta meningkatkan kedudukan Miri sebagai hab serantau bagi pertukaran budaya dan ekonomi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan dan Acara Perniagaan MBM Kaunselor Sean Huang berkata, jawatankuasanya sedang meneliti beberapa inisiatif baharu bagi mengukuhkan hubungan antara bandar-bandar persahabatan.
Antaranya ialah pertukaran kalendar acara tahunan, pembangunan pelancongan perubatan serta pelancongan akademik.
Menurutnya, perkongsian maklumat mengenai festival utama, acara kebudayaan, produk pelancongan dan program perniagaan mampu meningkatkan pertukaran pelawat serta penyertaan dalam pelbagai program yang dianjurkan oleh setiap bandar.
Beliau berkata, kerjasama dalam bidang pelancongan perubatan pula boleh diperkasakan menerusi promosi bersama, jalinan kerjasama antara hospital serta pertukaran kepakaran dalam kalangan profesional kesihatan.
“Bagi pelancongan akademik, kami berharap dapat menggalakkan program pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama, persidangan akademik serta kerjasama antara universiti dan institusi pendidikan di bandar-bandar yang terlibat,” katanya.