Open sewer hole at Miri Waterfront poses a risk

Posted on 19 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Christopher menunjukkan sebuah lubang pembetung yang sudah rosak boleh mengundang bahaya kepada pengunjung di Waterfront Miri.

This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo 

MIRI: Keadaan sebuah lubang pembetung yang dibiarkan terbuka serta kabel yang terjuntai di kawasan Waterfront Miri mengundang kebimbangan terhadap keselamatan orang awam, sekali gus mencetuskan gesaan agar tindakan pembaikan dilakukan dengan segera.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Parlimen P.219 Miri Christopher Jemat Amie berkata, beliau telah turun padang meninjau sendiri lokasi berkenaan selepas menerima aduan daripada orang ramai mengenai kerosakan yang disifatkan boleh mengundang kemalangan.

Menurut beliau, keadaan tersebut jelas memperlihatkan kelemahan dari aspek penyelenggaraan kemudahan awam dan tidak seharusnya dipandang ringan memandangkan Waterfront Miri merupakan antara lokasi tumpuan penduduk serta pelancong.

“Keadaan ini perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini khususnya melibatkan kanak-kanak, warga emas, pengunjung dan pelancong yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

“Sebagai salah satu ikon bandar raya Miri dan destinasi pelancongan utama, tahap keselamatan serta penyelenggaraan kemudahan awam di kawasan ini perlu sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Bandaraya Miri (MBM) supaya mengambil tindakan segera membaiki kerosakan berkenaan selain memberikan penjelasan secara telus mengenai langkah yang akan diambil.

Beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan rakyat tidak boleh dikompromi dan tidak sepatutnya hanya diberi perhatian selepas berlakunya sesuatu insiden.

Dalam masa sama kata Christopher, setiap aduan yang disalurkan oleh rakyat berkaitan kemudahan awam perlu ditangani secara serius dan tidak dibiarkan berlarutan.

Katanya, isu melibatkan penyelenggaraan infrastruktur, kebersihan serta keselamatan memberi kesan secara langsung terhadap kesejahteraan masyarakat dan imej bandar raya Miri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Miri yang sentiasa peka serta menyalurkan maklumat mengenai kerosakan kemudahan awam, sekali gus membantu pihak berkaitan mengenal pasti masalah yang memerlukan tindakan segera.

“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, Miri mampu terus berkembang sebagai sebuah bandar raya yang lebih selamat, bersih, terurus dan membanggakan untuk didiami serta dikunjungi,” katanya.