MIRI: Bengkel Teknik Skor A+ SPM Pendidikan Moral mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 400 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sekitar Miri dan kawasan luar bandar telah mendaftar untuk menyertai program pada 18 Julai ini di Auditorium Sekolah Menengah (SM) Pei Min.
Program anjuran Pengurus Dana Tabung Pendidikan Tinggi Keluarga Ling Alan Ling dengan kerjasama L & P Consultant Services itu berjaya menarik penyertaan pelajar daripada kira-kira 15 sekolah menengah, sekali gus menyaksikan pendaftaran ditutup lebih awal selepas kuota dipenuhi.
Alan berkata, bengkel berkenaan merupakan kesinambungan kerjasama yang terjalin sejak 2023 antara pihaknya dengan L & P Consultant Services menerusi pelbagai inisiatif pendidikan bersama Pejabat Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man.
Menurutnya, usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memperluas akses kepada pendidikan berkualiti, termasuk kepada pelajar di kawasan luar bandar.
“Bengkel ini akan diadakan dalam dua sesi, iaitu pagi dan petang, bagi memastikan penyampaian ilmu dan teknik menjawab soalan dapat dilakukan dengan lebih berkesan kepada semua peserta.
“Kami bukan sahaja memberi tumpuan kepada pelajar di bandar Miri, malah turut memastikan pelajar dari kawasan luar bandar seperti SMK Bekenu dan SMK Subis mendapat peluang yang sama untuk menyertainya.
"Pendidikan adalah hak semua pelajar tanpa mengira lokasi sekolah mereka,” katanya.
Beliau berkata, sambutan amat menggalakkan apabila lebih 400 pelajar berjaya mendaftar, sekali gus menyebabkan penyertaan ditutup sepenuhnya.
Bengkel itu akan dikendalikan Guru Cemerlang Pendidikan Moral Jerome Lim Yew Siong dari Negeri Sembilan yang berpengalaman luas membantu calon SPM mencapai keputusan cemerlang.
Alan berharap peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya teknik menjawab soalan, strategi memperoleh markah tinggi serta tip persediaan peperiksaan yang akan dikongsikan sepanjang bengkel berkenaan.
Menurutnya, program sedemikian bukan sahaja memberi pendedahan kepada teknik menjawab peperiksaan, malah membantu meningkatkan keyakinan diri, mengurangkan tekanan menjelang peperiksaan serta membina motivasi pelajar untuk mencapai keputusan terbaik.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan beberapa lagi Bengkel Teknik Skor A+ SPM akan dianjurkan sepanjang tahun ini melibatkan mata pelajaran Matematik Tambahan, Biologi dan Sejarah bagi membantu lebih ramai calon membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Beliau berharap siri bengkel tersebut dapat melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di Bahagian Miri sekali gus membuka peluang lebih luas kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.