MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) tidak akan menyekat penganjuran festival makanan di bandar raya ini hanya kerana acara berkenaan kerap dianjurkan, selagi pihak penganjur memenuhi semua syarat yang ditetapkan.
Datuk Bandar Miri Adam Yii (gambar) berkata demikian ketika mengulas kebimbangan pengusaha makanan tempatan berhubung kekerapan penganjuran festival berkenaan di bandar raya ini.
Menurut beliau, pengusaha berkenaan bimbang penganjuran festival makanan yang terlalu kerap boleh menjejaskan perniagaan pengusaha makanan tetap yang menjalankan operasi sepanjang tahun.
Malah, katanya, terdapat juga gesaan supaya kekerapan dan penyelarasan penganjuran festival makanan berkenaan dikaji semula.
“MBM ketika ini menerima permohonan daripada pihak yang ingin menganjurkan festival makanan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan pihak majlis.
“Kita (MBM) tidak boleh sewenang-wenangnya menolak permohonan berdasarkan jumlah festival makanan yang sudah diadakan kerana perkara itu melibatkan permintaan pasaran dan prinsip pasaran bebas,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.
Beliau berkata, sesiapa yang ingin menganjurkan festival makanan boleh mengemukakan permohonan selagi memenuhi semua syarat ditetapkan.
Tambahnya, sama ada pengendali festival makanan berkenaan memperoleh keuntungan atau sebaliknya bukan perkara yang perlu diuruskan oleh pihak penganjur.
“Saya tidak fikir MBM boleh menolak permohonan berkenaan, melainkan terdapat alasan yang kukuh. Ini adalah pasaran bebas,” katanya.
Yii berkata pihak majlis juga sukar menentukan dengan tepat sejauh mana penganjuran festival makanan memberi kesan kepada pengusaha makanan yang sudah lama menjalankan perniagaan di bandar raya ini.
Bagaimanapun, katanya, MBM akan terus menilai setiap permohonan berdasarkan syarat berkaitan sebelum membenarkan penganjuran acara berkenaan.
Pada masa sama katanya, MBM akan membiarkan kuasa pasaran menentukan daya maju serta permintaan terhadap penganjuran festival seumpama itu di bandar raya ini.