Pengiktirafan itu disampaikan pada Persidangan Tahunan WMAM 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting, Pahang pada 10 Ogos lalu.
Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata pengiktirafan itu merupakan penghargaan bermakna terhadap usaha MBM dalam pengurusan sisa, namun mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
“Kami tidak sempurna, tidak dinafikan. Namun, WMAM mempunyai kriteria dan kaedah penilaian tersendiri dan secara perbandingan, kami memperoleh keputusan yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBM di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, kekurangan yang masih ada pada pihak majlis tidak seharusnya mengurangkan kepentingan pengiktirafan berkenaan kerana anugerah itu berdasarkan penilaian terhadap kriteria yang ditetapkan badan industri.
“Hanya kerana kami tidak sempurna, tidak bermakna kami tidak layak menerimanya,” ujarnya lanjut.
Yii berkata, Anugerah Pengiktirafan WMAM diberikan menerusi proses pencalonan awam terbuka bagi mengiktiraf pihak berkuasa tempatan, penyedia perkhidmatan pengurusan sisa dan peneraju industri yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan sisa pepejal, amalan ekonomi kitaran dan pengurusan alam sekitar.
Menurutnya, pencalonan itu bukan semata-mata berdasarkan cadangan orang awam, malah turut mengambil kira pendedahan media yang diterima MBM, yang menunjukkan usaha berterusan pihak majlis memperkukuh pengurusan sisa menerusi pelbagai inisiatif.
Antara inisiatif dilaksanakan ialah Kempen Beli Balik Bandaraya Miri – “Waste to Wealth”, hab hijau tempatan serta pelbagai program perintis bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam pengurangan sisa dan kitar semula.
MBM turut menerapkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam perancangan perbandaran dan program komuniti, termasuk pengkomposan isi rumah, kempen pengurangan plastik, kesedaran alam sekitar serta inisiatif pemuliharaan sungai.
Yii menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pengiktirafan terhadap komitmen bersama dan kerja berpasukan ahli majlis, pihak pengurusan serta kakitangan dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan perbandaran.
Sehubungan itu katanya, anugerah berkenaan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai satu pencapaian, sebaliknya menjadi tanggungjawab dan motivasi untuk terus meningkatkan perkhidmatan.
“MBM akan terus berusaha melaksanakan amalan pengurusan sisa yang lebih cekap, inovatif dan mampan, selain memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, pemain industri, pihak perniagaan dan komuniti ke arah mewujudkan Miri yang lebih bersih, sihat dan selesa didiami,” katanya.