Over 1,440 dogs vaccinated against rabies, MBM extends programme until September

Posted on 05 Oct 2026
Source of News: Utusan Borneo


This news in Bahasa Melayu is from: Utusan Borneo Online

MIRI: Lebih 1,440 ekor anjing diberikan vaksin antirabies sepanjang Ogos ini, sekali gus mendorong pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) melanjutkan tempoh program vaksinasi percuma itu sehingga ke September depan.

Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata susulan program berkenaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan, maka ia akan diteruskan sehingga September dengan sesi vaksinasi diadakan pada empat hujung minggu.

Beliau berkata, program itu turut menawarkan pelesenan anjing dan pemasangan mikrocip secara percuma, yang menyaksikan 1,700 lesen dikeluarkan dan 902 ekor anjing dipasang mikrocip sepanjang pelaksanaannya pada Ogos.

Menurutnya, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) Cawangan Miri bagi menggalakkan pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab.

“Sesi vaksinasi pada September akan diadakan pada 5 dan 6 September di Dewan Dato Permaisuri, 12 dan 13 September di Ah Hong Grocer (Tudan), 19 dan 20 September di Taman Bulatan serta 26 dan 27 September di Pusat Komersial Sevenew Pujut 5.

“Semua sesi berkenaan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4 petang,” katanya.

Yii berkata, kemuncak program itu akan diadakan pada hujung minggu terakhir apabila kempen pengebirian atau pemandulan anjing diperkenalkan di Pusat Komersial Sevenew pada 26 September.

“Sebanyak 200 kupon pengebirian bernilai RM150 setiap satu akan diedarkan kepada pemilik anjing yang layak berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat dan hanya sah ditebus di klinik veterinar yang mengambil bahagian, yang akan diumumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif tambahan itu melengkapi program vaksinasi antirabies dengan menggalakkan pengebirian serta menyokong pengurusan populasi anjing yang lebih baik di bandar raya ini.

“Pemilik anjing digalakkan memanfaatkan inisiatif ini dan memainkan peranan aktif dalam melindungi haiwan peliharaan mereka serta masyarakat umum daripada rabies,” katanya.

Katanya, selaras dengan Perintah Vaksinasi Antirabies, semua anjing di Sarawak wajib diberikan vaksin antirabies.

“Mana-mana pemilik atau individu yang menjaga anjing yang gagal tanpa sebab munasabah mematuhi Perintah itu melakukan kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,500 mengikut Seksyen 40(7), Ordinan Kesihatan Awam Veterinar (VPHO) 1999,” katanya.

Beliau berkata, anjing yang tidak mempunyai bukti vaksinasi juga boleh ditahan atau dikeluarkan oleh DVSS mengikut peruntukan berkenaan.

Yii turut memberi amaran bahawa pemilik yang membiarkan anjing mereka berkeliaran bebas di jalan raya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,500 mengikut Seksyen 37 (5) (a), VPHO 1999.

“Pemilik anjing mesti memastikan anjing mereka berada di bawah kawalan berkesan sama ada dengan mengurungnya di kawasan berpagar yang tidak membolehkan anjing itu melarikan diri, mengikatnya dengan selamat atau membawanya menggunakan rantai atau tali yang kuat daripada kord atau kulit yang dipasang dengan sempurna pada kolar atau abah-abah yang dipakai anjing.

“Pihak Berkuasa Tempatan boleh menyita dan menahan mana-mana anjing yang tidak bertali selaras dengan Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Pelesenan dan Kawalan Anjing) 2018,” katanya.