Industry players, corporate partners urged to help promote Sarawak's cultural products to the world stage

Posted on 23 Feb 2026
Source of News: Utusan Borneo
Chiew (lima kiri) dan Pauline (enam kiri) bersama kenangan bersama pemilik dan pengasas Batik Linut, Diana Rose (empat kiri) serta para model yang memperagakan sebahagian daripada koleksi batik linut yang dipamerkan pada malam itu. 

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online.

MIRI: Pemain industri dan rakan korporat diseru tampil memperkukuhkan sokongan terhadap industri kreatif tempatan bagi memastikan reka bentuk etnik dan produk budaya Sarawak mampu menembusi pasaran serantau serta antarabangsa.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Chiew Choon Man berkata dengan bimbingan berterusan, strategi penjenamaan yang mantap serta pemerkasaan pemasaran digital, hasil karya pereka dan pengusaha tempatan bukan sahaja berpotensi menjadi produk pelancongan bernilai tinggi, malah mampu mengangkat nama Sarawak di persada global.

Beliau memberitahu demikian semasa berucap merasmikan Sarawak Ethnic Contemporary Design Showcase 2026 yang dianjurkan bersama oleh Rotary Club of Miri Oil Town dan Persatuan Wanita Orang Ulu Malaysia (PWOUM), yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam tadi. Chiew mewakili menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing. 

Tambahnya lagi, kolaborasi kukuh antara pertubuhan khidmat dan pemimpin wanita komuniti dalam memelihara serta memperkukuh identiti budaya tempatan itu merupakan salah satu langkah yang wajar dicontohi oleh pertubuhan atau pengiat industri berkaitan.

“Kolaborasi yang terjalin menerusi penganjuran Sarawak Ethnic Contemporary Design Showcase 2026 di Miri ini juga membuktikan bahawa inisiatif tempatan mampu menyumbang secara signifikan kepada aspirasi nasional, sekali gus menjadi model inovasi budaya dan pemerkasaan komuniti untuk dicontohi di seluruh negara,” katanya. 

Dalam masa sama, katanya, kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bukan sekadar bergantung kepada kempen promosi, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif setiap negeri, daerah dan komuniti, termasuk kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat.

Justeru penganjuran acara tersebut, katanya, bukan sekadar acara makan malam dan pertunjukan fesyen, sebaliknya menjadi platform strategik memperkasa usahawan wanita pribumi serta mengangkat warisan budaya Sarawak sebagai produk pelancongan bernilai tinggi menjelang VM2026.

“Usaha kolektif ini penting bagi memastikan VM2026 bukan sahaja menonjolkan destinasi pelancongan, tetapi turut mengetengahkan jiwa, identiti serta kepelbagaian budaya rakyat Malaysia sebagai kekuatan utama negara,” ujarnya.

“Malah penyertaan aktif komuniti seperti Kelabit, Kenyah, Kayan, Penan, Iban dan Lun Bawang dalam bidang keusahawanan kreatif turut menyokong agenda pelancongan inklusif dan berteraskan rakyat, selaras komitmen kementerian dalam memastikan manfaat ekonomi pelancongan dinikmati hingga ke peringkat akar umbi,” tambah beliau lagi. 

Katanya, dengan inisiatif di Miri itu berpotensi menjadi model inovasi budaya dan pemerkasaan komuniti di peringkat nasional.

Hadir sama di majlis itu malam tadi ialah presiden Rotary Club of Miri Oil Town Pauline Sagau dan pengerusi Persatuan Wanita Orang Ulu Kijan Toynbee.