Education is the key to transforming the Kelabit community, says Gerawat

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Gerawat menyampaikan anugerah pendidikan cemerlang kepada salah seorang penerima, yang turut ditemani ibu bapanya.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online


MIRI: Pendidikan merupakan faktor utama yang telah membawa transformasi besar kepada masyarakat Kelabit daripada sebuah komuniti yang bergantung kepada aktiviti sara diri kepada masyarakat moden yang berjaya melahirkan ramai golongan profesional dan pemimpin dalam pelbagai bidang.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, perubahan tersebut berlaku hasil kesedaran generasi terdahulu yang meletakkan pendidikan sebagai asas penting dalam membina masa depan masyarakat.

Menurut beliau, sejak kumpulan perintis pelajar Kelabit mengikuti pendidikan formal di sekolah pertama yang dibina di Pa’ Main sekitar tahun 1950-an, masyarakat itu telah mencatat kemajuan yang amat membanggakan dalam tempoh beberapa dekad.

“Hari ini kita dapat melihat ramai anak Kelabit muncul sebagai pegawai kanan kerajaan, ahli akademik, usahawan, jurutera, doktor, peguam, pendidik dan tokoh masyarakat yang berjaya.

“Perkembangan ini membuktikan bahawa pendidikan merupakan pelaburan terbaik untuk mengubah kehidupan dan meningkatkan taraf sosioekonomi sesebuah masyarakat,” katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pendidikan Cemerlang 2026, Rurum Kelabit Sarawak (RKS) di sini.

Gerawat berkata, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kerana kemajuan negeri pada masa depan bergantung kepada kualiti generasi muda yang dibentuk masa kini.

Katanya, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi memastikan anak-anak Sarawak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang dan lokasi.

“Antara usaha yang dilaksanakan termasuk penubuhan sekolah antarabangsa milik Kerajaan Sarawak, penyediaan biasiswa, pinjaman pendidikan, bantuan yuran pengajian, bantuan peranti digital serta pelbagai program pembangunan bakat,” tambahnya.

Beliau turut menyifatkan pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di institusi pengajian tinggi milik Sarawak untuk anak-anak Sarawak yang layak sebagai satu langkah bersejarah yang bakal membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada generasi muda.

“Dasar ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada anak Sarawak tercicir daripada mendapatkan pendidikan hanya kerana kekangan kewangan.

“Kita mahu setiap anak Sarawak mempunyai peluang yang sama untuk membina masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan para pelajar yang menerima anugerah supaya tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa kerana kejayaan akademik hanyalah permulaan kepada cabaran yang lebih besar pada masa depan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Unit Pendidikan Rurum Kelabit Sarawak kerana berjaya meneruskan penganjuran RKS Education Excellence Award yang kini memasuki edisi ke-22, sekali gus membuktikan komitmen berterusan pertubuhan itu dalam memartabatkan pendidikan dalam kalangan masyarakat Kelabit.

“Anak-anak yang diraikan hari ini merupakan kebanggaan keluarga, masyarakat Kelabit dan juga Sarawak.

“Saya yakin ramai daripada mereka akan muncul sebagai pemimpin dan profesional yang akan meneruskan legasi kecemerlangan masyarakat Kelabit pada masa depan,” katanya.