Woman loses nearly RM372,000 after being scammed by a non-existent stock investment

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo



This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online


MIRI: Seorang wanita tempatan berusia 61 tahun kerugian RM371,983.67 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Miri Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri menerima laporan berhubung kes tersebut pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, mangsa yang berasal dari daerah ini tertarik dengan iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat sebelum menekan pautan yang disediakan.

“Mangsa kemudian berurusan dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan menerusi dua nombor telefon.

“Selepas diyakinkan dengan tawaran berkenaan, mangsa telah membuat 15 transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM400,883.67,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pelaburan tersebut, mangsa hanya berjaya mengeluarkan keuntungan sebanyak RM28,900 sebelum menyedari dirinya telah ditipu.

Katanya, mangsa mula curiga apabila suspek memberikan pelbagai alasan dan alasan baharu setiap kali dia cuba menuntut keuntungan yang dijanjikan.

“Selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda.

Dalam pada itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh masa singkat.

Beliau berkata, orang ramai disaran membuat semakan terlebih dahulu terhadap mana-mana syarikat atau skim pelaburan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memastikan pelaburan tersebut sah dan berlesen.

Selain itu katanya, orang ramai juga boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan menerusi portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Sekiranya baru sahaja menjadi mangsa penipuan dan membuat pemindahan wang ke akaun sindiket, segera hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas diambil,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Tasman Hukman di talian 014-8618690 bagi membantu siasatan.