Police issued 45 summonses in the Drunk Operation in Miri

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Seorang polis trafik sedang melakukan ujian pernafasan ke atas seorang penunggang motosikal yang diperiksa dalam Op Mabuk, lewat malam Ahad. - Gambar IPD Miri

 
This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online
 

MIRI: Sebanyak 45 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi khas Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di Jalan Miri-Airport, lewat malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang bermula jam 11 malam Ahad hingga 2.30 pagi Isnin itu diketuai seorang pegawai kanan polis bersama lapan anggota trafik IPD Miri.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan dan pencegahan terhadap kesalahan lalu lintas, khususnya membabitkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 140 individu terdiri daripada 98 lelaki dan 42 wanita telah diperiksa bersama 127 buah kenderaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan lalu lintas dikesan, antaranya memandu tanpa lesen memandu, pengubahsuaian ekzos, cukai jalan tamat tempoh, gagal mempamerkan pelekat "P" pada kenderaan serta beberapa kesalahan teknikal lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Farhan, dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun turut ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Miri untuk tindakan lanjut selepas ujian pernafasan menggunakan alat Screening Device 2 (SD2) mendapati terdapat kandungan alkohol dalam badannya ketika memandu.

“Sampel darah suspek juga telah diambil di Jabatan Forensik Hospital Miri bagi membantu siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan,” jelasnya.

Sehubungan itu menurut beliau, individu yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun serta denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun.

Justeru, beliau menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Oleh itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi asal serta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan atau kesalahan trafik kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.