APM catches a batik python under the cat cage

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Dua anggota APM Miri menunjukkan seekor ular sawa batik sepanjang tiga meter yang berjaya ditangkap di kawasan sebuah rumah di Miri pada Ahad. - Gambar APM Miri

 
This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online


MIRI: Seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira tiga meter yang ditemui bersembunyi di bawah sangkar kucing di sebuah kediaman di sini berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pada Ahad.

Menurut APM Miri, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 daripada seorang lelaki berusia 35 tahun yang menyedari kehadiran reptilia tersebut di kawasan rumahnya.

Bertindak atas panggilan diterima, sepasukan empat anggota diketuai oleh Prebet (PA) Alisa Ali digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.

Setibanya di lokasi, pasukan APM bertemu dengan pengadu untuk bertanyakan keberadaan ular sawa tersebut.

Hasil pemeriksaan mendapati ular sawa berkenaan masih berada di bawah sangkar kucing pengadu yang diletakkan di luar rumah.

Anggota APM kemudian berjaya menangkap ular sawa batik sepanjang tiga meter itu menggunakan teknik menyepit.

Selepas memastikan keadaan di lokasi berada dalam keadaan selamat, operasi ditamatkan dan pasukan APM kembali ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Miri.