221 plant groups, 88 animal groups identified in the Miri River

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Para peserta yang menghadiri Majlis Perasmian Sains Warga dan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti di Miri, hari ini.


This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online


MIRI: Sekurang-kurangnya 221 kumpulan tumbuhan dan 88 kumpulan haiwan dikenal pasti di sepanjang Sungai Miri, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas mengenai kekayaan biodiversiti yang terdapat dalam ekosistem sungai berkenaan.

Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Datu Jack Liam berkata, penemuan itu diperoleh menerusi analisis DNA persekitaran (eDNA) yang dijalankan di bawah Projek Kajian Ekologi Sungai Miri Dalam Mengenal Pasti Kawasan Berpotensi Untuk Pemuliharaan di Sepanjang Ekosistem Sungai Demi Manfaat Komuniti Miri.

Menurutnya, dapatan awal kajian menunjukkan Sungai Miri masih mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi dan memainkan peranan penting sebagai habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna.

“Beberapa bahagian sungai turut menunjukkan tahap biodiversiti yang tinggi, sekali gus menggambarkan kepentingan kawasan tersebut dari sudut ekologi dan pemuliharaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sains Warga dan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam yang disempurnakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Tambah beliau, projek berkenaan diluluskan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di bawah inisiatif Projek Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti dengan pembiayaan melalui Akaun Amanah Biodiversiti Kebangsaan.

Katanya, projek tersebut bertujuan mengkaji ekosistem Sungai Miri bagi memahami keadaan ekologinya serta mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk pemeliharaan, restorasi dan pemuliharaan.

“Data saintifik yang dikumpulkan akan menjadi asas kepada perancangan dan pengurusan alam sekitar yang lebih berkesan, selain membantu pihak berkuasa mengenal pasti isu secara lebih tepat serta merangka strategi pengurusan yang mampan,” jelasnya.

Beliau berkata, kajian itu melibatkan survei flora dan fauna, persampelan kualiti air, analisis eDNA, pemetaan guna tanah serta penilaian saintifik lain di sepanjang Sungai Miri.

Dalam pada itu, Curtin  University Malaysia bertindak sebagai rakan penyelidikan dan teknikal dalam projek berkenaan, termasuk menyediakan sokongan berkaitan penilaian lapangan, analisis data dan interpretasi penemuan kajian.

Menurut beliau, projek yang bermula selepas memorandum perjanjian (MoA) ditandatangani pada 14 Julai 2025 itu akan dilaksanakan selama 12 bulan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM760,000.

Mengulas mengenai Program Sains Warga beliau berkata, inisiatif itu bertujuan memperkasakan peranan masyarakat dalam pemeliharaan dan pemantauan alam sekitar, termasuk pemerhatian biodiversiti serta pelaporan isu berkaitan Sungai Miri.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemeliharaan sungai, malah mewujudkan rasa tanggungjawab dan komitmen bersama terhadap sumber semula jadi,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 200 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, ketua masyarakat serta pelajar.

Katanya, sebagai pihak berkuasa alam sekitar negeri, NREB akan terus komited memperkukuh usaha pemantauan, penyelidikan, pendidikan dan penguatkuasaan alam sekitar demi memastikan sumber semula jadi Sarawak terus terpelihara untuk generasi akan datang.