Community support is important to make the Mulu Airport upgrade project a success

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Gerawat (duduk baris kedua, sembilan kiri) dan tetamu jemputan lain bersama penduduk, guru serta pelajar yang hadir semasa sesi dialog tersebut Sabtu lalu.


This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online


MIRI: Sokongan dan kerjasama penuh masyarakat setempat amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek menaik taraf dan menurap landasan Lapangan Terbang Mulu dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk di kawasan pedalaman itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala berkata, kejayaan projek strategik tersebut bergantung kepada kerjasama semua pihak memandangkan proses membawa bahan binaan, peralatan dan jentera berat dari Miri ke Mulu melibatkan cabaran logistik besar serta memerlukan perancangan teliti.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Outreach Mulu 2026 dan sesi dialog bersama masyarakat berhubung cadangan projek menaik taraf serta menurap landasan Lapangan Terbang Mulu yang dianjurkan Kementerian Pengangkutan Sarawak di Dewan Kampung Kuala Melinau, Mulu Sabtu lalu.

Menurut Gerawat, sesi dialog itu merupakan platform penting untuk membolehkan penduduk menyuarakan pandangan, cadangan dan kebimbangan mereka agar pelaksanaan projek dapat dirancang dengan lebih berkesan.

“Pembangunan infrastruktur pengangkutan udara ini amat diperlukan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, memperkukuh sektor pelancongan serta meningkatkan tahap kesalinghubungan penduduk di kawasan pedalaman, khususnya di Mulu,” katanya.