MIRI: Persatuan Teresak Kenyalang melancarkan misi kemanusiaan bagi membantu mangsa kebakaran Rumah Nelson Ningkan di Saeh Niah, yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam kejadian kebakaran baru-baru ini.
Penolong Setiausaha Flora Angela berkata, misi berkenaan bertujuan meringankan beban keluarga yang terjejas dengan menyalurkan bantuan keperluan asas, sumbangan kewangan serta sokongan moral kepada mangsa.
Menurut beliau, pelbagai pihak telah tampil menghulurkan bantuan dan menunjukkan solidariti kepada mangsa yang sedang berdepan kesukaran selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran tersebut.
“Ramai individu dan pihak yang prihatin telah bersama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan penderitaan mangsa. Namun, masih banyak keperluan yang perlu dipenuhi bagi membantu mereka membina semula kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sehubungan itu, Persatuan Teresak Kenyalang mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat serta individu yang berhasrat membantu mangsa kebakaran terbabit.
Flora berkata, sumbangan dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan harian, pakaian, makanan dan keperluan asas lain amat diperlukan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terbela.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya bersama-sama menjayakan misi kemanusiaan tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat tragedi berkenaan.
“Setiap sumbangan yang diberikan sama ada besar atau kecil, mampu membawa sinar harapan kepada mangsa dan keluarga mereka dalam meneruskan kehidupan,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai misi kemanusiaan itu boleh berhubung terus dengan Persatuan Teresak Kenyalang bagi memastikan sumbangan dapat disampaikan kepada mangsa yang memerlukan.
Katanya, semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu meringankan beban mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan kehidupan mereka selepas tragedi tersebut.