Diadakan sempena meraikan Hari Raya Aidiladha dan Gawai Dayak, acara tersebut telah berjaya menghimpunkan kira-kira 5,000 warga daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Program yang berlangsung dari jam 5 petang hingga 8 malam itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man.
Dalam ucapannya Chiew berkata, tujuan perhimpunan itu adalah untuk membolehkan rakyat daripada pelbagai kaum meraikan Aidiladha dan Gawai Dayak bersama-sama, mencerminkan kepelbagaian warisan budaya serta semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Chiew turut mengumumkan beberapa projek pembangunan strategik di Miri telah diluluskan dan ini termasuk naik taraf Lapangan Terbang Miri, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri serta Hospital Miri.
Beliau menambah, pelbagai usaha telah dilaksanakan sejak enam bulan lalu bagi memperkukuh dan merancakkan semula industri pelancongan di Miri yang disifatkannya sebagai antara sektor ekonomi yang mampu memberikan pulangan pantas serta manfaat menyeluruh kepada masyarakat.
“Apabila sektor pelancongan berkembang, limpahan ekonominya akan turut dirasai oleh semua lapisan masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi.
“Bukan sahaja industri perhotelan mendapat manfaat, malah pengusaha makanan dan minuman, pembekal, peniaga pasar serta perusahaan kecil dan sederhana turut menerima kesan positif daripada pertumbuhan sektor ini,” tambah beliau.
Chiew turut menegaskan potensi besar Miri untuk terus diperkukuhkan sebagai destinasi pelancongan utama di Sarawak.
Beliau berkata, beberapa lokasi tumpuan di bandar itu kini sedang melalui proses penjenamaan semula bagi meningkatkan daya tarikan kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Beliau juga menekankan keperluan mempergiatkan pembangunan produk pelancongan baharu bagi menawarkan lebih banyak pilihan destinasi kepada penduduk tempatan serta pelawat dari luar kawasan seperti Bintulu, Sibu dan Kuching.
Acara malam itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang mencerminkan keunikan masyarakat berbilang kaum di Miri, di samping hidangan makanan tradisional seperti pansuh ayam dan pelbagai juadah lain.
Program tersebut bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim, malah turut memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat melalui penglibatan pelbagai komuniti yang meraikan kepelbagaian budaya secara bersama.
Turut hadir ialah Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Mohd Roslan Abdullah, Pengarah Negeri Tourism Malaysia Sarawak Rubiah Tul’Adwiyah Md Yusuf serta Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Ahmad Nazib Johari.