Delegation of community leaders and Chinese JKKK inspects KSC project

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Teo (duduk, empat kiri) dan Yong (duduk enam kanan) serta ahli-ahli delegasi semasa lawatan ke pejabat tapak KSC semalam.


This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online


MIRI: Seramai 21 ketua masyarakat dan wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina dari seluruh bahagian Miri berpeluang melihat sendiri perkembangan projek Kenyalang Smart City (KSC), yang disifatkan sebagai antara pembangunan bersepadu paling berimpak di utara Sarawak.

Delegasi yang diketuai Temenggung Yong Vui Seng itu mengadakan lawatan ke pejabat tapak projek KSC semalam bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai visi, perancangan dan kemajuan pembangunan projek berkenaan.

Ketibaan mereka disambut Pengerusi Imasa Dinasti Sdn Bhd Teo Ah Khing yang turut menyampaikan taklimat mengenai pelan induk pembangunan tersebut.

Menurut Teo, Kenyalang Smart City dirancang sebagai pembangunan bandar moden, bersepadu dan mampan yang mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pelaburan, pembangunan pelancongan serta peningkatan kualiti hidup masyarakat setempat.

Beliau berkata, projek berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, malah turut dirangka bagi mewujudkan ekosistem bandar yang menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang untuk Miri dan kawasan sekitarnya.

“Melalui pembangunan ini, pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan baharu dijangka diwujudkan, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat serta komuniti tempatan,” katanya semasa sesi taklimat.

Antara komponen utama yang dibentangkan termasuk Pusat Konvensyen dan Pameran Kenyalang (KCEC), pembangunan komersial dan bercampur, kemudahan hospitaliti serta infrastruktur sokongan yang dirancang di bawah pelan induk projek.

Sesi tersebut turut menjadi platform perkongsian maklumat dan dialog antara pemaju projek dengan pemimpin masyarakat bagi membolehkan mereka memahami dengan lebih mendalam objektif, kemajuan semasa serta manfaat jangka panjang pembangunan itu.

Menurut Teo, penglibatan pemimpin masyarakat amat penting bagi memastikan maklumat yang tepat dan terkini dapat disampaikan kepada penduduk setempat, sekali gus meningkatkan kesedaran awam serta keyakinan terhadap projek pembangunan tersebut.

Selepas sesi taklimat, delegasi dibawa melawat tapak pembinaan Dewan Satu KCEC bagi meninjau sendiri kemajuan kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan.

Lawatan itu memberi peluang kepada peserta melihat skala sebenar pembangunan serta perkembangan projek yang dijangka menjadi mercu tanda baharu di bandar raya Miri.

Imasa Dinasti dalam kenyataannya menegaskan komitmen syarikat untuk terus mengadakan libat urus bersama pihak berkepentingan dan komuniti setempat sepanjang pelaksanaan projek Kenyalang Smart City.

Menurut syarikat itu, kerjasama dan komunikasi berterusan penting bagi memastikan pembangunan tersebut dapat memberi manfaat yang mampan kepada masyarakat Miri dan Sarawak secara keseluruhannya.