Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau berkata, jumlah itu merupakan antara pengagihan terbesar yang pernah dilaksanakan di kawasan berkenaan dan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu organisasi serta komuniti setempat.
Menurutnya, peruntukan yang disalurkan itu hanya mewakili kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan permohonan yang diterima, manakala baki permohonan akan dipertimbangkan dalam fasa seterusnya.
"Masih banyak permohonan yang perlu diberi perhatian dan kita berharap dapat meneruskan pengagihan pada fasa ketiga, keempat dan seterusnya," katanya.
Dennis berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek MRP Kawasan DUN N77 Telang Usan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengingatkan semua penerima supaya menggunakan dana kerajaan secara berhemah serta mematuhi tatacara yang ditetapkan bagi memastikan setiap peruntukan dibelanjakan mengikut tujuan yang diluluskan.
Dennis berkata, pelbagai projek pembangunan terus dilaksanakan di Telang Usan menerusi projek Transformasi Luar Bandar (RTP) termasuk pembinaan jalan raya, dewan masyarakat dan kemudahan asas lain yang memberi manfaat kepada penduduk.
Tambahnya, pembinaan loji bekalan air di beberapa rumah panjang juga sedang giat dilaksanakan, selain usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi baharu di Baram melalui inisiatif seperti industri karbon, penanaman buluh secara komersial dan pembangunan projek agrovoltaic yang menggabungkan aktiviti pertanian dengan penjanaan tenaga solar.
Menurutnya, projek-projek berimpak tinggi itu dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang aktiviti ekonomi penduduk setempat pada masa depan.
"Kerajaan negeri juga telah bersetuju mengambil alih jalan-jalan balak sedia ada untuk diselenggara di bawah sistem penyelenggaraan jalan negeri bagi meningkatkan tahap kesalinghubungan dan kemudahan pengangkutan di kawasan luar bandar," katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Politik Premier Sarawak Dominic Nyurang, Temenggung Elizabeth Deng serta Ketua Pergerakan Wanita PBB Telang Usan Margaret Uding Nawan.