14 individuals and institutions receive the Sarawak Ma’al Hijrah Award 1448H

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Tun dan Toh (Tengah) serta tetamu kehormat yang lain bergambar kenangan dengan para penerima Anugerah Ma’al Hijrah 1488H di Miri, hari ini. - Gambar UKAS


This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online


MIRI: Seramai 14 penerima terdiri daripada individu, institusi pendidikan, masjid serta keluarga cemerlang menerima Anugerah Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak 1448H/2026M sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian mereka dalam pelbagai bidang pembangunan ummah.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, sempena Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak 1448H/2026M. 

Majlis sambutan yang sama turut dihadiri oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Pengerusi Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, serta menteri-menteri kanan, timbalan menteri, ketua-ketua jabatan peringkat negeri dan persekutuan serta pemimpin Masyarakat setempat.

Bagi kategori Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan, pengiktirafan diberikan kepada Prof Madya Ir Ts. Dr Siti Kudnie Sahari yang menerima wang tunai RM10,000 serta sijil penghargaan yang ditandatangani oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Anugerah Pendakwah pula diterima oleh Norhaza Ahmad Redzuan Abdullah yang menerima wang tunai RM5,000 berserta sijil penghargaan.

 

Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Terbaik diberikan kepada Masjid Al-Ghazali yang membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil penghargaan serta projek pembangunan bernilai RM30,000.

Bagi kategori Penjawat Awam Islam, Dr Mohd Syukri Abdullah menerima wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan, manakala kategori Penjawat Awam Bukan Islam dimenangi oleh Datuk Kueh Lei Poh yang turut menerima wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Anugerah Keluarga Cemerlang pula diterima oleh keluarga Laman Haji Yasim, manakala Anugerah Belia diberikan kepada Nurul Cleo Sharmeen Roslam. Kedua-dua kategori menerima wang tunai RM5,000 serta sijil penghargaan.

Dalam kategori Saudara Kita, penerima bagi kategori lelaki ialah Helmi Abdullah, manakala kategori wanita disandang oleh Zainab Sato Abdullah. Kedua-duanya menerima wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Bagi kategori institusi pendidikan, SMKA Tun Ahmad Zaidi menerima Anugerah Sekolah Menengah Agama Cemerlang yang disertakan wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan hadiah buku bernilai RM3,000.

Sementara itu, SKA MIS Sri Aman menerima Anugerah Sekolah Rendah Agama Cemerlang bersama wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan hadiah buku bernilai RM3,000.

Turut menerima pengiktirafan ialah Nurul Shazwani Mohamad Rashdan bagi kategori Pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Cemerlang yang menerima wang tunai RM4,000, sijil penghargaan serta bantuan khas RM4,000 daripada Tabung Ibnu Khaldun untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Bagi kategori Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Cemerlang, Josh Hamid Doharome Suparno menerima wang tunai RM3,000, sijil penghargaan dan bantuan khas RM4,000 daripada Tabung Ibnu Khaldun.

Manakala penerima Anugerah Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Cemerlang, Hanies Nadhrah Nehal menerima wang tunai RM2,000, sijil penghargaan serta bantuan khas RM4,000 daripada Tabung Ibnu Khaldun bagi melanjutkan pengajian ke IPTA atau IPTS.

Sambutan tahunan itu bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan individu dan institusi, malah menjadi platform menghargai sumbangan mereka yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan ummah, pendidikan Islam serta kesejahteraan masyarakat di Sarawak.