The upgrade project for Bario, Ba' Kelalan STOLport boosts inland development

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Gerawat (dua kiri) dan Hasbi (empat kiri) ketika sama-sama meninjau landasan STOLport Ba' Kelalan, baru-baru ini.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online


MIRI: Projek naik taraf dan pemanjangan landasan di STOLport Bario serta usaha penambahbaikan kemudahan penerbangan di STOLport Ba' Kelalan dijangka memperkukuh jaringan pengangkutan udara di kawasan pedalaman sekali gus merancakkan pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat. 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata projek tersebut amat penting memandangkan penduduk di Bario dan Ba’ Kelalan masih bergantung kepada perkhidmatan udara sebagai penghubung utama dengan kawasan lain di Sarawak.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah dalam lawatan kerja rasmi ke STOLport Ba' Kelalan dan Bario pada Selasa.

Menurut Gerawat, rombongan yang turut disertai wakil Kementerian Pengangkutan Sarawak dan agensi berkaitan telah diberi taklimat oleh Malaysia Airports Holdings Berhad mengenai keadaan semasa STOLport Ba' Kelalan sebelum meninjau kemudahan terminal dan landasan penerbangan.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, ketibaan rombongan di Ba’ Kelalan disambut oleh Penghulu Yudan Meru bersama barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan tersebut.

Lawatan kemudian diteruskan ke Bario, di mana rombongan disambut oleh Pemanca Calleena Lallang Sakai bersama KMKK tempatan.

Di sana, satu taklimat terperinci telah disampaikan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak berhubung kemajuan Projek Naik Taraf dan Pemanjangan Landasan STOLport Bario yang sedang dilaksanakan.

Gerawat berkata beliau berpuas hati dengan perkembangan projek tersebut yang menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan berada pada landasan yang baik.

“Apabila siap kelak, projek ini akan meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta kecekapan operasi penerbangan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi, sektor pelancongan dan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan projek pembangunan infrastruktur strategik di kawasan pedalaman dapat dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat rakyat.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) Datu Wong Hee Sieng, Setiausaha Bahagian Udara Kementerian Pengangkutan Malaysia Mohd Radzuan Mazlan, Penasihat Teknikal Udara MOTS Sio Yew Hua, Ketua Bahagian Pengangkutan Udara MOTS Dayang Nurhayati serta Pengurus Lapangan Terbang Wilayah Borneo MAHB Jefri Ramli. 

ADVERTISEMENT