Menurut beliau, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar menandakan pertukaran tahun dalam kalendar Islam, sebaliknya mengingatkan umat Islam kepada peristiwa agung penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang menjadi titik perubahan besar dalam sejarah tamadun Islam.
Beliau berkata, peristiwa hijrah mengajar bahawa perubahan besar memerlukan keberanian, kesatuan, kebijaksanaan dan pengorbanan, selain menuntut usaha meninggalkan kelemahan serta membina masa depan yang lebih baik.
“Tema Sambutan Maal Hijrah tahun ini, ‘Ummah Maju Makmur’, amat bertepatan dengan tuntutan semasa kerana ia menyeru umat Islam menjadi masyarakat progresif, berilmu, berintegriti dan berdaya saing, sambil terus berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam,” katanya ketika berucap pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 1448H/2026M di Satdium Tertutup Bandaraya Miri di sini, hari ini.
Majlis sambutan itu dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi Pengerusi Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha serta menteri-menteri kanan, timbalan menteri, ketua-ketua jabatan peringkat negeri dan persekutuan serta pemimpin masyarakat.
Abang Johari berkata, dalam konteks Sarawak, negeri itu sedang melalui satu proses transformasi pembangunan yang signifikan menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, Sarawak kini beralih daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi yang dipacu inovasi, teknologi digital dan tenaga hijau dengan matlamat menjadi wilayah maju berpendapatan tinggi, inklusif serta mampan menjelang tahun 2030.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak kini muncul sebagai antara peneraju ekonomi hijau di rantau ini melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak 2035 yang menjadi asas kepada usaha menjadikan negeri ini hab hidrogen bersih dan tenaga masa hadapan di Asia Tenggara.
“Langkah ini membuktikan bahawa Sarawak bukan sahaja menyesuaikan diri dengan perubahan global, malah berusaha memimpin perubahan tersebut,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata pembangunan sistem pengangkutan moden berasaskan teknologi hijau seperti Autonomous Rapid Transit (ART) bakal memperkukuhkan sistem mobiliti bandar serta menjadi simbol kemajuan teknologi negeri.
Menurutnya, Sarawak juga terus memperkasa agenda ekonomi digital, pembangunan industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi sebagai teras pertumbuhan ekonomi masa depan.
Abang Johari menjelaskan bahawa semua pencapaian itu mencerminkan makna sebenar hijrah iaitu beralih daripada kebiasaan kepada pembaharuan, daripada bergantung kepada sumber lama kepada penerokaan peluang baharu serta daripada menjadi pengguna teknologi kepada pencipta teknologi.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemajuan material semata-mata tidak menjamin kemakmuran sebenar kerana pembangunan ekonomi perlu diseimbangkan dengan pembangunan rohani, akhlak dan nilai kemanusiaan.
“Agenda pembangunan ummah mesti bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi. Kita memerlukan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan profesional, tetapi juga memiliki integriti, amanah serta keperibadian yang mulia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam agar menguasai ilmu pengetahuan, teknologi dan kemahiran baharu selain membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, memperkukuh institusi keluarga serta meningkatkan literasi digital.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk penduduk luar bandar, golongan belia, wanita, warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan.
Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Islam Sarawak, agensi-agensi Islam, masjid, surau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi dakwah yang memainkan peranan penting dalam memperkasakan pembangunan ummah di negeri ini.
Beliau berkata usaha memperkukuh pendidikan Islam, pembangunan modal insan, pengurusan zakat dan wakaf, kebajikan masyarakat serta pengimarahan institusi masjid perlu terus dipertingkatkan bagi melahirkan masyarakat Islam yang maju dan berdaya tahan.
Abang Johari turut mengajak umat Islam menjadikan semangat hijrah sebagai dorongan untuk berubah ke arah yang lebih baik dengan memperkukuh perpaduan, meningkatkan kecemerlangan dan mencipta lebih banyak peluang pembangunan.
Beliau yakin penghayatan semangat hijrah akan membolehkan umat Islam di Sarawak terus menjadi ummah yang maju, makmur, berilmu dan dihormati serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negeri dan negara.