Beliau berkata, kejayaan dalam bidang pendidikan tidak mustahil dicapai sekiranya seseorang mempunyai azam yang tinggi, disiplin dan kesungguhan untuk terus menuntut ilmu.
Menurutnya, pengalaman beliau melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) membuktikan bahawa anak-anak dari kawasan pedalaman juga mampu mencapai kecemerlangan akademik jika diberi peluang dan sokongan sewajarnya.
“Pelajar perlu terus berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita, selain sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru yang memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan mereka,” katanya pada Majlis Ngiling Bidai Gawai yang diadakan di Rumah Jelaping Anak Jali, Kampung Sungai Arang B, di Marudi, baru-baru ini.
Majlis Ngiling Bidai Gawai itu dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Arang dengan kerjasama komuniti Kampung Sungai Arang B, serta disertai guru, pelajar, ibu bapa dan penduduk setempat.
Sementara itu, seorang lagi penceramah Marvelys Micheal Dian berkata, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, sekolah dan komuniti.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap cabaran sosial semasa seperti penyalahgunaan bahan terlarang dan perjudian dalam talian yang boleh menjejaskan masa depan anak-anak.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam membimbing, memantau dan melindungi anak-anak daripada terjebak dengan gejala sosial yang semakin membimbangkan,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Pengerusi ADC Sungai Arang Clarence Nanang menyatakan komitmennya untuk melihat lebih ramai anak-anak Sungai Arang mencapai kecemerlangan akademik.
Beliau melahirkan harapan agar dalam tempoh tiga tahun akan datang akan lahir anak tempatan dari Sungai Arang yang berjaya menamatkan pengajian sehingga ke peringkat PhD.
Sebagai galakan kepada generasi muda, beliau turut mengumumkan insentif berbentuk wang tunai kepada mana-mana anak Sungai Arang yang berjaya mencatat pencapaian cemerlang dalam bidang akademik.
Menurutnya, pendidikan merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan individu, keluarga dan komuniti serta mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat luar bandar yang lebih maju dan berdaya saing.
Selain pengisian motivasi, program tersebut turut dimeriahkan dengan Upacara Miring, persembahan Ajat Ngalu Temuai, sukaneka komuniti, ngetas ranyai serta simbolik Ngiling Bidai sebagai penutup rasmi sambutan Gawai tahun ini.
Pihak penganjur berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh perpaduan komuniti, meningkatkan kesedaran terhadap isu semasa serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus cemerlang dalam pendidikan dan kehidupan.
Turut hadir ialah Guru Besar SK Sungai Arang Mohamad Salehudin Semain, serta Tuai Rumah Jelaping Jali dan beberapa pegawai kanan Kerajaan di Marudi.