MIRI: Polis Miri berjaya menyelesaikan lima kes pecah masuk premis perniagaan yang dilaporkan berlaku sejak pertengahan Mei lalu dengan penahanan seorang lelaki tempatan pada 10 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri sebelum itu menerima beberapa laporan berkaitan kejadian pecah masuk premis perniagaan yang berlaku antara pertengahan Mei hingga awal Jun lalu.
“Hasil maklumat yang diperoleh di lokasi kejadian serta risikan berterusan yang dijalankan berjaya membawa kepada penahanan suspek berusia 30 tahun itu.
“Tangkapan ke atas suspek dilakukan pada jam 7 malam, 10 Jun lalu oleh sepasukan anggota daripada Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri yang diketuai Ketua Balai Polis Pusat Miri, ASP Goldy Jangan hasil serbuan di kawasan perumahan Pujut 2 di sini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Farhan, siasatan lanjut terhadap suspek kemudiannya membawa kepada penemuan pakaian dan aksesori yang dipercayai digunakan semasa melakukan kegiatan jenayah tersebut.
“Semasa serbuan, polis turut merampas sebilah gergaji kecil yang telah diubah suai dan dipercayai digunakan untuk membuka secara paksa kunci pintu roller shutter premis-premis perniagaan yang dipecah masuk oleh suspek.
“Justeru, dengan pengangkapan suspek ini, kita berjaya menyelesaikan kesemua lima kes pecah masuk premis perniagaan yang menggunakan modus operandi sama,” ujarnya.
Katanya, lima kes yang dilaporkan itu berlaku di Pusat Komersial Airport, Pusat Komersial Assar Miri Bypass, Morsjaya, Permyjaya dan Boulevard di sini.
Tambah Farhan, jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa dianggarkan sekitar RM15,000.
Selain itu katanya, siasatan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan narkotik di daerah Miri dan daerah lain.
Manakala keputusan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati positif dadah.
“Suspek kini berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi setiap kesalahan yang dilakukan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya turut boleh dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi,” katanya.
Sehubungan itu, Farhan menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan jenayah dan akan memastikan individu yang ditangkap dibawa ke muka pengadilan agar dapat dihukum berlandaskan peruntukan undang-undang negara bagi menjamin keselamatan masyarakat serta harta benda di daerah ini.