MIRI: Tindakan pantas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Miri dalam melaksanakan program suntikan rabies ke atas haiwan peliharaan, secara langsung berjaya mengekang wabak maut itu daripada menular di bahagian ini.
Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin memuji tindakan pantas JPVS Miri yang mengambil langkah memberikan vaksinasi percuma kepada semua anjing didaftarkan oleh pemiliknya di sini bagi memastikan wabak itu terkawal dan tidak merebak.
"Sejak pengumuman mengenai kes terbaru rabies di Marudi, JPVS Miri telah melaksanakan vaksninasi rabies bagi memastikan wabak berkenaan tidak merebak lebih jauh.
"Terima kasih atas tindakan pantas mereka," ujar Lee.
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita di sini, hari ini selepas melawat ke tapak Program Vaksinasi, Pengeluaran Lesen dan Pemasangan Mikrocip untuk anjing bagi kawasan bandar raya di kawasan parkir kereta berhadapan Pasaraya Nam Leong di Senadin.
Program itu yang dianjurkan bersama JPVS Miri dan bahagian pelesenan haiwan Majlis Bandaraya Miri (MBM), dibuka kepada orang awam yang memiliki haiwan peliharaan dengan vaksinasi rabies diberikan secara percuma kepada anjing.
Pada 15 Ogos lalu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom mengesahkan bahawa Kampung Narum di Marudi, Miri telah dikenal pasti sebagai kawasan jangkitan rabies selepas seekor anjing terbiar disahkan positif rabies pada 2 Ogos.
Sehubungan itu JPVS Miri turut bertindak segera dengan mengadakan perkhidmatan vaksin rabies bergerak di Taman Awam Miri, kawasan perumahan Taman Tunku dan Stadium Miri, kawasan Tudan, Permyjaya dan di Senadin sepanjang hari kelmarin dan semalam.
Pada bulan depan perkhidmatan vaksinasi rabies akan diadakan di hadapan Simpang Bekenu.
Lee menambah kata, sambutan amat baik dan beliau berterima kasih kerana JPVS Miri memilih hujung minggu untuk mengadakan program ini, bagi mengalakkan lebih ramai penduduk khususnya pemilik haiwan peliharaan dapat datang dan mengambil bahagian dalam program yang diadakan secara percuma itu.
"Selain itu, MBM turut membuka kaunter supaya orang ramai datang untuk mendaftarkan anjing peliharaan mereka dan seterusnya disuntik dengan mikrocip yang mengandungi data serta maklumat mengenainya.
"Setiap anjing yang ada lesen dan sudah dipasang mikrocip ini, dapat dipantau pergerakannya oleh pihak MBM dan dengan ini kita dapat mengekang wabak rabies di bahagian ini daripada berlaku," tambahnya.
Sehingga kini menurut Lee, tiada laporan kes rabies dilaporkan berlaku di Miri dan beliau gembira dengan keadaan yang amat terkawal ketika ini dan berharap Miri kekal tiada kes.
Sementara itu, pada hari pertama program itu yang bermula pada 28 Oktober telah mendapat sambutan dengan 122 ekor anjing telah diberi vaksin rabies.
"Hari ini kita berharap jumlah ini akan meningkat dan lebih ramai pemilik binatang peliharaan, membawa anjing mereka ke sini untuk menerima vaksin rabies bagi mengekang wabak daripada berlaku," katanya.